Khidmat penghantaran, pengedaran dikecuali cukai perkhidmatan

Khidmat penghantaran, pengedaran dikecuali cukai perkhidmatan

Pengangkutan fret, perkapalan, penerbangan atau kemudahan rantaian sejuk tidak lagi perlu menanggung cukai untuk perkhidmatan penghantaran, pengedaran atau pengangkutan.

Kementerian Kewangan berkata, semua perkhidmatan logistik di dalam atau antara kawasan khas serta ditetapkan seperti Pelabuhan Barat tidak tertakluk kepada cukai perkhidmatan, kecuali perkhidmatan ejen kastam, yang kekal dikenakan cukai itu.
PETALING JAYA:
Kementerian Kewangan memperincikan skop pengecualian cukai perkhidmatan untuk penyedia perkhidmatan logistik dikecualikan daripada cukai bagi perkhidmatan penghantaran, pengedaran atau pengangkutan.

Katanya, skop yang diperluaskan itu akan mengurangkan cukai berganda dalam sektor itu dan mengurangkan kesan langsung ke atas kos sara hidup rakyat.

Di bawah skop baharu itu, penyedia perkhidmatan logistik seperti penghantaran fret, perkapalan, penerbangan atau kemudahan rantaian sejuk tidak lagi perlu menanggung cukai perkhidmatan untuk perkhidmatan penghantaran, pengedaran atau pengangkutan, yang sebelum ini disenaraikan sebagai item bercukai yang berasingan.

“Pengecualian cukai perkhidmatan bagi sektor logistik dan penyenggaraan disediakan atas keprihatinan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dan pada masa sama memastikan sektor perkhidmatan negara terus berdaya saing.

“Bagi terus mengekalkan daya saing negara, kerajaan tidak mengenakan cukai perkhidmatan di kawasan zon bebas cukai,” kata Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, perkhidmatan logistik disediakan di dalam atau antara kawasan khas dan ditetapkan tidak tertakluk kepada cukai perkhidmatan, kecuali perkhidmatan ejen kastam yang kekal dikenakan cukai itu.

“Oleh yang demikian, zon perdagangan dan perindustrian bebas seperti Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Barat di Selangor serta Pelabuhan Pasir Gudang di Johor akan memperoleh manfaat daripada pengecualian ini.”

Menurutnya, pengecualian itu juga diperluaskan kepada perkhidmatan penyenggaraan untuk pembaikan bangunan kediaman; kumpulan wang pelepas dan perkhidmatan penyenggaraan berkaitan tanah atau bangunan bagi kegunaan kediaman yang disediakan pemaju, badan pengurusan bersama atau persatuan kediaman.

“Ini bermaksud apa-apa perkhidmatan penyenggaraan dan pembaikan di premis kediaman seperti pembaikan bumbung rumah atau apa-apa peralatan dan kelengkapan yang menjadi sebahagian daripada premis kediaman seperti lif, penyaman udara serta sistem pemanas air tidak dikenakan cukai perkhidmatan.”

Katanya, kenaikan kadar cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 8% berkuat kuasa 1 Mac lalu lebih menumpukan aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan tidak membabitkan rakyat secara langsung.

“Ia tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta sebahagian daripada gaya hidup rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi serta parkir kenderaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.