Daun lerek ‘ramuan’ khas kedai lemang popular

Daun lerek ‘ramuan’ khas kedai lemang popular

Diusahakan oleh Mohd Bistammie Mohd Arifin, perusahaan keluarga di Batu Caves ini menarik pelanggan dari jauh dan dekat kerana lemang yang luar biasa.

Kombinasi cemerlang rendang, serunding, dan Lemang Daun Lerek Greenwood. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)
PETALING JAYA:
Gerai-gerai lemang di tepi jalan pemandangan biasa dalam bulan puasa. Batang-batang buluh diatur cermat berdekatan api yang marak menggiurkan orang lalu-lalang dengan aroma santan dan pulut.

Sekiranya anda berada di Batu Caves, Gombak, apa kata singgah di sebuah kedai lemang popular di sana: Lemang Daun Lerek Greenwood. Perusahaan keluarga ini sudah 30 tahun berniaga. Ia diuruskan oleh Mohd Bistammie Mohd Arifi dan adik-beradiknya.

“Bapa kami mula masak lemang di tepi jalan pada 1994 tapi untuk dimakan keluarga kami,” kata Bistammie kepada FMT Lifestyle. “Orang datang dan tanya lemang itu untuk dijual ke, maka bapa kami dapat ilham untuk meniaga lemang pada tahun berikutnya.”

Apa yang membuatkan lemang keluarga Bistammie ini istimewa ialah ia menggunakan daun lerek dan bukannya daun pisang seperti kebiasaan. Daun yang lazim digunakan sebagai pembalut makanan di merata benua Asia dan Pantai Timur Semenanjung itu memberikan “rasa dan aroma yang luar biasa”.

Seorang pekerja memasukkan daun lerek ke dalam sebatang buluh. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

Usahawan berusia 38 tahun itu berkata mereka menggunakan daun pisang sehingga tahun 2008, apabila mereka menemukan manfaat daun lerek.

Daun itu memudahkan pembeli lemangnya mengeluarkan isi lemang. “Awak cuma perlu tarik tangkai daun dan keluarkan isi lemang. Tak perlu lagi belah buluh.”

Memperkenalkan daun lerek dalam pembikinan lemang tertanya disambut baik oleh para pelanggan, yang kebanyakannya dari serata Lembah Klang dan diluarnya.

Bistammie berkata beliau dan adik-beradiknya mengambil alih perniagaan lemang itu daripada bapa mereka, yang bersara pada 2019. Sebelum ini, mereka hanya menjual lemang ketika Ramadan dan musim raya.

“Ketika kami membesar, saya dan adik-beradik akan membantu di gerai. Membantu ibu bapa ketika cuti sekolah kenangan yang sangat menyeronokkan dan menggembirakan kami,” katanya, sambil tersenyum.

Bistammie Arifin menjalankan perniagaan lemang bersama empat adik-beradik. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

“Selepas bapa kami bersara, kami perolehi lot kedai ini dan sekarang kami bakar lemang sepanjang tahun.”

Pada mulanya, beralih daripada masak bermusim kepada sepanjang tahun agak mencabar bagi keluarga Bistammie, yang mendapati untuk menjual semua stok boleh mengambil masa tiga hari, sebelum lemang baharu dihasilkan.

“Kemudian Covid melanda. Memandangkan semua orang berada di rumah, mereka dapat tahu mengenai kami menerusi media sosial. Kamu sediakan penghantaran dan sejak itu perniagaan rancak.”

Hari ini, Lemang Daun Lerek Greenwood sudah terkenal dalam kalangan penduduk, hinggakan pelanggan sanggup beratur berjam-jam untuk peroleh makanan tradisional ini, yang mempunyai aroma yang kuat.

Adunan beras pulut dan santan dituang ke dalam buluh. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

Menurut Bistammie, lazimnya mereka boleh jual antara 50 hingga 200 batang lemang sehari, dan 400 hingga 800 batang ketika Ramadan dan musim raya.

Ketika dikunjungi kru FMT Lifestyle, Bistammie menunjukkan bagaimana lemang lazat keluarganya itu dihasilkan.

Pertama sekali, batang-batang buluh dan daun-daun lerek dibersihkan. Dedaun itu kemudian dilipat dan dimasukkan ke dalam buluh.

Beras pulut, air, santan, garam, dan gula dimasukkan ke dalam suatu bekas besar dan diadun.

Adunan itu dituang ke dalam buluh, yang ditenggek berdekatan api untuk dimasak selama dua jam. Satu bekas penuh berisi adunan beras pulut itu — kira-kira 50kg — boleh menghasilkan antara 180 hingga 200 batang lemang.

Lemang perlu diatur dengan cermat agar masak sekata. (Muhaimin Marwan @ FMT Lifestyle)

Akhir sekali, lemang yang dimasak sempurna memang wajar dipadankan dengan rendang dan serunding; gandingan terbaik untuk Hari Raya!

Dalam pada itu, Bistammie mempunyai berita baik untuk penggemar lemang di luar Lembah Klang: Tahun ini mereka buka cawangan di Baling, Kedah.

Buat masa ini, cawangan itu hanya dibuka ketika Ramadan dan hari raya. Namun melihat kepada betapa rancaknya kedai mereka di Batu Caves, warga di utara Semenanjung mungkin akan dapat menikmati lemang daun lerek Bistammie sepanjang tahun juga.

Ikuti Lemang Daun Lerek Greenwood di Facebook dan Instagram. Tekan sini untuk peta menuju ke kedainya.

Lemang Daun Lerek Greenwood
Jalan Batu Caves,
Kampung Tengah Lembah Gombak,
68100 Batu Caves, Selangor

Waktu berniaga: 8 pagi hingga 9 malam setiap hari

Hubungi: 012-944 2741

Tekan sini untuk lokasi cawangan Baling.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.