9 April lihat anak bulan Syawal

9 April lihat anak bulan Syawal

Tarikh Hari Raya Aidilfitri akan diisytiharkan pada malam hari sama melalui radio dan televisyen.

Antara lokasi mencerap anak bulan Syawal termasuk Menara KL; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; Cameron Highlands, Pahang; Balai Cerap Kusza di Setiu, Terengganu; dan Balai Cerap Al-Biruni, Putatan, Sabah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang 9 April di 29 lokasi di seluruh negara.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tarikh Hari Raya Aidilfitri yang ditetapkan akan diisytiharkan pada malam itu juga melalui radio dan televisyen.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Syawal ialah pada petang Selasa, 9 April 2024 Masehi, bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijriah,” menurut kenyataan itu.

Majlis Raja-raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Aidilfitri adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal termasuk di Pontian Kecil, Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka; Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting; Balai Cerap Selangor Sabak Bernam; serta Pantai Pasir Panjang, Manjong, Perak; dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Selain itu, anak bulan Syawal juga akan dicerap di Kampung Pulau Sayak Kuala Muda; Pemandangan Indah Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah; Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; dan Balai Cerap Kusza di Setiu, Terengganu.

Lokasi lain termasuk Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu, Kelantan, manakala di Sarawak, Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.

Di Sabah, anak bulan Syawal akan dicerap di Balai Cerap Al-Biruni, Putatan, manakala di Pahang, Bukit Tanjong Batu, Nenasi; Gunung Berincang; Cameron Highlands; dan Menara Kuantan 188.

Empat lagi lokasi ialah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya; dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.