Peguam bergelar Datuk disyaki tipu urusan jual tanah pusaka

Peguam bergelar Datuk disyaki tipu urusan jual tanah pusaka

Mangsa berusia 54 tahun sehingga kini dakwa tidak terima baki wang selepas selesai urusan dengan LHDN.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mangsa hanya menerima bayaran sebanyak RM381,110.
KUALA LUMPUR:
Polis mengesahkan menerima laporan seorang lelaki yang mendakwa ditipu peguam bergelar Datuk dalam urusan penjualan tanahnya bernilai RM1.4 juta di Sepang, Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya menerima laporan daripada individu berusia 54 tahun itu, pada 16 Mac.

Beliau berkata, mangsa telah berjumpa dengan suspek dan bersetuju melantik firma guaman itu bagi menguruskan penjualan tanah pusaka milik mangsa.

“Tanah tersebut telah berjaya dijual pada harga RM1.4 juta dan mangsa telah menerima bayaran sebanyak RM381,110. Berdasarkan perjanjian, suspek bertanggungjawab untuk menguruskan wang jualan tersebut untuk tujuan pembayaran kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan menyerahkan bakinya kepada mangsa.

“Namun sehingga kini, suspek didapati gagal berbuat demikian dan kes terbabit sedang disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media mingguan JSJK.

Sementara itu, Ramli berkata JSJK telah membuka lima kertas siasatan berkaitan penipuan Skim Pelaburan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah melibatkan kerugian lebih RM745,000 sejak Januari.

“Melalui siasatan yang dijalankan, skim ini mula beroperasi sejak 2019 dan menjanjikan pulangan lumayan kepada pelabur kononnya mengikut konsep hibah (hadiah).

“Pulangan yang ditawarkan sehingga RM1 juta bagi setiap RM1,000 yang dilaburkan dan tawaran pelaburan ini dibuat secara bersemuka iaitu melalui kenalan serta saudara-mara,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian akan mengikuti seminar dan kursus yang diadakan dan setelah yakin dengan skim pelaburan itu, mangsa akan mula memindahkan wang ke akaun yang diberikan.

Bagaimanapun, katanya setelah pindahan wang dibuat, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan dijanjikan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan melaksanakan semakan yang lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.