
Han Boon Hou, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.
Dia dituduh menyebabkan kematian Mohd Shazwan Idzauddin Ishak, 29, dengan melakukan suatu perbuatan gopoh atau cuai pada 6.39 pagi 19 Mac lalu di belakang bangunan BSN Kuala Kedah, dekat sini.
Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha, manakala tertuduh diwakili peguam Lim Wei Yong.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, selain mengarahkan dia melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula kes pada 19 Mei ini.
Di Mahkamah Sesyen di sini, tiga lelaki mengaku tidak bersalah semasa dihadapkan ke mahkamah, termasuk Shazwan (si mati) atas tuduhan cuba melakukan rompakan berkumpulan terhadap Han pada hari sama.
Muhammad Zaki Zabani Osman, 28; Zazimi Hamid, 41; dan Shazwan dituduh cuba melakukan rompakan berkumpulan ke atas Han di depan Farmasi Kuala Kedah, dekat sini, pada 6.39 pagi 19 Mac lepas.
Mereka didakwa di depan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan disebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad Mohamad Faiz, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan kepada semua tertuduh dan hakim menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.
Dalam kejadian 19 Mac lalu, seorang lelaki maut ketika cuba menyamun sebuah kereta di depan sebuah farmasi di Kuala Kedah, dekat sini.
Ketua Polis Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir dilaporkan berkata, tiga lelaki yang menaiki dua motosikal dipercayai cuba melakukan samun terhadap sebuah kereta, apabila seorang daripada mereka memukul cermin kereta di bahagian depan dengan objek sehingga pecah.
Akibat ketakutan, katanya, pemandu kereta memecut keretanya dan melanggar sebuah daripada motosikal dinaiki seorang suspek yang cuba menghalang bahagian depan keretanya.