KK Mart Bidor dibaling ‘bom’, 1 pelaku dikesan CCTV

KK Mart Bidor dibaling ‘bom’, 1 pelaku dikesan CCTV

Polis berkata suspek itu menaiki kereta berwarna merah dan membaling botol kaca berisi minyak tanah.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri, berkata semakan CCTV kedai itu berjaya merakam kelibat seorang suspek disyaki. (Gambar Bernama)
IPOH:
Siasatan awal pihak polis mendapati bom petrol dilempar ke sebuah kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, dekat Bidor dipercayai dilakukan seorang lelaki menaiki kereta, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri, berkata semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai tersebut mendapati, sebuah kereta berwarna gelap mempunyai pelekat warna merah ‘Lalamove’, telah berhenti di tepi jalan kira-kira 5.35 pagi.

“Satu lelaki (suspek) telah turun daripada kereta tersebut dan membaling sesuatu dipercayai botol kaca berisi minyak tanah ke dalam kedai, lalu terus beredar dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Yusri dilaporkan berkata kejadian disedari oleh kakitangan kedai serbaneka terbabit dan polis menerima laporan daripada pengadu yang juga wanita warga tempatan, berhubung kejadian pada 8.49 pagi.

Pengadu berusia 20 tahun ketika sedang bekerja memaklumkan, mendengar bunyi botol pecah di hadapan premis dan terus keluar memeriksa keadaan.

Terdapat serpihan kaca serta bahan letupan menyerupai mercun di atas lantai kedai dan pengadu juga terhidu bau seperti minyak tanah daripada serpihan kaca yang pecah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh hubungi pegawai penyiasat Norseha Baharudin di talian 0177964459.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.