
Bagaimanapun, Anwar yang juga menteri kewangan berkata kerajaan akan terus memantau kesan negatif kepada rakyat kebanyakan menerusi mekanisme indeks harga pengguna (CPI), yang juga digunakan di seluruh dunia.
“Kebimbangan kita adalah impak inflasi (apabila cukai perkhidmatan dinaikkan), kita tak nafikan bahawa ada juga kesan tetapi setakat ini mengikut jabatan perangkaan kesannya sekitar 0.2%,” katanya di Dewan Rakyat.
“Sebab itu kita cuba bantu dengan menambah sumbangan tunai rahmah (STR) dan beberapa bantuan lain sebab kita faham kenaikan kos sara hidup,” katanya sambil menambah, bantuan STR pada tahun ini mencecah RM10 bilion.
Beliau menjawab pertanyaan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta kerajaan menjelaskan kesan terhadap kos sara hidup rakyat dan kos pengeluaran industri akibat kenaikan cukai perkhidmatan bagi segelintir sektor dari 6% kepada 8%.
Pelarasan cukai berkuat kuasa pada 1 Mac itu hanya memfokuskan aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan bagi memastikan rakyat tidak dibebani kadar cukai kepenggunaan lebih tinggi, khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting.
Perkhidmatan yang banyak digunakan rakyat seperti makanan dan minuman, penghantaran makanan dan minuman, logistik, telekomunikasi serta parkir kenderaan kekal dengan cukai 6%.
Kerajaan menjangkakan tambahan hasil RM3 bilion daripada pelarasan itu yang akan membantu Putrajaya menambah baik bantuan bersasar kepada rakyat, menambah baik dan menyelenggara prasarana awam kritikal seperti penjagaan kesihatan, sekolah serta jalan raya.
Menjawab soalan tambahan Shahar mengenai usaha kerajaan meningkatkan hasil bukan cukai berbanding hanya menumpukan kepada hasil cukai, Anwar berkata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menyumbang hampir 50% kepada hasil bukan cukai sementara pelaburan penyumbang 65%.
“Usaha tambahan termasuk transformasi di GLC untuk memastikan peningkatan pelaburan domestik. Bila pelaburan domestik lebih rancak hasil bukan cukai pun harapnya boleh ditingkatkan.”