
Mereka bimbang tindakan Akmal terus menghangatkan isu itu walaupun selepas permohonan maaf dibuat boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta pasaran yang akhirnya menjejaskan periuk nasi pekerja tempatan terutamanya orang Melayu Islam.
Bercakap kepada FMT, Ameer yang juga presiden Persatuan Peruncit Bumiputera berkata exco Melaka itu seharusnya menjauhkan isu membabitkan unsur 3R (agama, bangsa, raja) dalam sektor ekonomi dan tidak menjadikan krisis itu sebagai batu loncatan dalam politik.
“Dia nak heboh-hebohkan lagi buat apa. Sepatutnya parti politik menjauhi isu 3R, kalau dah terjadi kita tak mahu bakar lagi…letak minyak tanah lagi.
“KK Mart dan kilang itu pun dah minta maaf…apa lagi yang mereka boleh buat?,” soal Ameer mempertikaikan ‘kekerasan’ Akmal mengarahkan boikot terhadap KK Mart dan mengerah sayap Pemuda Umno di seluruh negara membuat laporan polis.
Bersetuju kalimah Allah sebagai isu serius, Ameer bagaimanapun berkata perkara berkenaan tidak perlu dibesarkan pihak tiada kaitan dan hanya mahu menjadikannya sebagai kelebihan dalam politik.

Presiden Persatuan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) William Ng pula berkata tindakan memboikot atau kekerasan terhadap mana-mana syarikat boleh menjejaskan keyakinan pelabur lambat laun pasaran.
“Ini tidak wajar kerana boleh jejaskan reputasi negara dan pemulihan ekonomi yang dalam keadaan genting,” katanya mengulas desakan boikot oleh Akmal.
Menurutnya, mana-mana parti politik tidak wajar mempengaruhi pengguna memboikot sesuatu jenama atau syarikat kerana ia hak pembeli untuk menentukan.
“Kelompok politik tidak harus mengambil tindakan sendiri. Sekiranya kita tidak setuju dengan mana-mana perniagaan atau barangan kita tidak perlu membeli dari mereka.
“Kita yang memboikot mungkin tidak memerlukan barangan tertentu, tetapi fikirkan pekerja syarikat tersebut yang mungkin memerlukan kerja untuk membantu keluarga,” katanya yang berharap semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang.
Rabu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalannya Zahid Hamidi menyeru semua pihak agar tidak memanjangkan lagi isu stoking tertera kalimah Allah.
Anwar berkata tindakan sudah diambil manakala Zahid yang juga presiden Umno menyeru semua pihak tidak “berlebih-lebihan” dalam isu tersebut apabila pihak terbabit sudah meminta maaf.
Kontroversi stoking tertera kalimah Allah tercetus susulan tular gambar penjualan produk itu minggu lalu, di sebuah cawangan KK Mart Bandar Sunway, sekali gus mengundang kecaman umat Islam termasuk desakan memboikot oleh Pemuda Umno.
Susulan syarikat berkenaan memohon maaf dan menyuarakan kekesalan atas insiden berlaku, namun Pemuda Umno mendesak pengurusan KK Mart memasang kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara.