Mydin lanjut waktu operasi di 50 cawangan, mudahkan penerima SARA

Mydin lanjut waktu operasi di 50 cawangan, mudahkan penerima SARA

Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin berkata, waktu operasi baharu dari 5 hingga 7 Sept adalah dari 7 pagi hingga 1 pagi.

SARA BANTUAN 100
Pasar raya besar Mydin ialah salah satu lokasi di mana rakyat Malaysia boleh memanfaatkan bantuan SARA RM100.
PETALING JAYA:
Pasar raya besar Mydin akan melanjutkan waktu operasi 50 cawangannya minggu ini untuk memudahkan pelanggan membeli-belah, selain mengurangkan kesesakan.

Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin berkata, waktu operasi baharu itu akan berkuat kuasa dari 5 hingga 7 Sept ini, bermula 7 pagi hingga 1 pagi.

“”Langkah ini diambil kerana Mydin memahami keperluan pelanggan untuk mempunyai lebih masa berbelanja, khususnya bagi memanfaatkan bantuan SARA RM100 serta bantuan lain yang telah dikreditkan oleh kerajaan.

“Mydin kekal komited menyokong usaha kerajaan meringankan kos sara hidup rakyat dengan memastikan bekalan barangan asas mencukupi,” katanya dalam kenyataan.

Pada Isnin, cawangan pasar raya besar itu di Subang Jaya membuka 16 kaunter dilengkapi pengimbas MyKad sumbangan Yayasan MyKasih.

Pengurus Besar Operasi S Vishnu Varthana berkata, pihaknya turut menambah bilangan pekerja bagi memastikan setiap kaunter mempunyai dua petugas, lapor Berita Harian.

Terdahulu pada Ahad, sistem MyKasih dilaporkan berdepan masalah teknikal sehingga menyebabkan kelewatan proses penebusan bantuan SARA oleh pelanggan.

Insiden itu menjejaskan operasi beberapa rangkaian pasar raya besar di seluruh negara termasuk Mydin, HeroMart, Lotus’s dan Giant.

Semalam dilaporkan Kementerian Kewangan menambah baik kapasiti sistem MyKasih bagi mengendalikan sehingga 15,000 transaksi seminit, ekoran jumlah penebusan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang tinggi.

Menurut Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican, penambahbaikan itu, iaitu peningkatan tiga kali ganda berbanding kapasiti asal 5,000 transaksi seminit, dilaksanakan bagi mencegah sebarang gangguan teknikal, khususnya pada hari kelepasan am.

Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan, sambutan luar biasa pada hari pertama pengagihan bantuan itu, iaitu 31 Ogos lepas, mencetuskan lonjakan transaksi mendadak, sekali gus menyebabkan kesesakan pada sistem terminal pembayaran kendalian rangkaian MyKasih.

Bantuan RM100 yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Julai lalu boleh ditebus sehingga 31 Dis ini di lebih 7,300 premis runcit seluruh negara.

Bantuan tersebut dikreditkan menerusi MyKad buat lebih 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.