
Menjelaskan kekeliruan laporan media, syarikat itu berkata wakilnya telah diberikan notis semalam yang mendakwanya tidak mematuhi syarat lesen perniagaan khususnya berkaitan aktiviti pembungkusan stoking.
Menurutnya, MPBP memberi tempoh 30 hari dari 20 Mac untuk mengemukakan pernyataan bertulis sebelum sebarang keputusan dibuat berkenaan dengan lesen terbabit.
“Oleh itu, lesen perniagaan kami masih sah sehingga Majlis mempertimbangkan pernyataan bertulis kami.
“Laporan media yang menyatakan bahawa lesen perniagaan kami telah dibatalkan adalah tidak tepat,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, MPBP di Facebooknya memaklumkan pihaknya telah menyerahkan notis untuk membatalkan lesen operasi Xin Jian Chang mengikut Undang-Undang Kecil 13(2) dan Undang-Undang Kecil 49 (2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPBP) 2016.
Pihak berkuasa itu menjelaskan tindakan berkenaan susulan pelanggaran syarat aktiviti lesen perniagaan diluluskannya iaitu stor dan pengedaran kasut.
Semalam, kilang syarikat itu yang terletak di kawasan perindustrian Sri Gading menutup operasinya sehari selepas serbuan pihak berkuasa yang menemukan lima pasang stoking tertera kalimah Allah.
Satu kain rentang digantung di pintu utama kilang itu, memaklumkan tentang penutupan operasi serta mengandungi permohonan maaf kepada rakyat Malaysia “atas kejadian berkaitan sarung kaki yang memaparkan perkataan sensitif yang tidak disengajakan”.
Syarikat itu dilaporkan sedang mempertimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal dari China berhubung stoking itu yang dibekalkan kepada KK Mart.