Boikot KK Mart: Umno masih sukar tarik sokongan undi Melayu, kata penganalisis

Boikot KK Mart: Umno masih sukar tarik sokongan undi Melayu, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata ini kempen oleh PAS dan pembangkang 'jauh ke depan' berbanding Umno.

Penganalisis berpandangan kempen PN terutama PAS lebih jauh ke depan berbanding Umno dalam meraih sokongan orang Melayu. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kempen boikot Pemuda Umno terhadap KK Mart masih belum mampu menarik undi orang Melayu yang kini dominan menyokong Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata ini kerana kempen isu agama dan bangsa oleh Perikatan Nasional terutama PAS jauh ke depan berbanding Umno, yang turut terpalit ‘stigma’ kerjasama dengan DAP dalam kerajaan perpaduan.

“Jadi mungkin salah satu cara untuk Pemuda Umno meningkatkan persepsi bahawa mereka boleh mempertahankan Islam dalam kerajaan… tetapi tidak mampu lagi kerana kekuatan PN atau PAS guna isu agama dan bangsa untuk meraih sokongan Melayu jauh ke depan,” katanya kepada FMT.

KK Mart diselubungi kontroversi selepas beberapa gambar stoking tertera kalimah Allah yang ditemui di sebuah cawangan kedai serbaneka itu tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan orang Islam serta desakan boikot oleh Pemuda Umno.

Syarikat itu sudah memohon maaf dan menyatakan kekesalan berhubung insiden tersebut.

Tindakan Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh meneruskan boikot dikritik pelbagai pihak dengan ada diantaranya mahu beliau menuntut permohonan maaf daripada China, memandangkan stoking terbabit dikatakan diimport dari negara berkenaan.

Terbaharu, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyarankan Akmal supaya “stand down” (kembali bertenang) memandangkan tindakan undang-undang berhubung isu itu sedang berjalan.

Semalam, pengasas KK Mart, KK Chai Kee Kan, dan isterinya, Loh Siew Mui, yang juga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam di atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking tertera kalimah Allah.

Turut didakwa tiga pengarah syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd kerana bersubahat dengan membekalkan stoking terbabit.

Sementara itu, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berpendapat tindakan lantang Pemuda Umno tidak akan menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu terhadap parti itu, berbanding parti dalam PN khususnya PAS.

“Orang bukan Melayu tak ada masalah dengan Umno berbanding parti dalam PN. Walaupun Umno memainkan isu-isu yang nampak agak bersifat perkauman tetapi ia tidaklah sesuatu yang sampai ke satu peringkat (mencetuskan) kemarahan orang bukan Melayu,” katanya.

Walaupun isu dibawa Pemuda Umno itu dekat dengan orang Melayu tetapi sayap terbabit perlu mengimbanginya dengan isu-isu keseluruhan rakyat seperti ekonomi, kos sara hidup, dan pendidikan.

“Dalam politik isu ini (kalimah Allah) sentimennya cukup memainkan peranan. Tindak balas segera terhadap isu berkait agama dan kaum perlu dibuat parti politik berasaskan Melayu seperti Umno,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.