
Beliau berkata, tindakan menyalah tafsir titah Agong, yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam kalangan masyarakat Melayu-Islam, “tidak sesuai”.
Tambahnya, semua pihak, terutama dalam kalangan “ketua-ketua”, harus menjunjung titah baginda agar kontroversi ini tidak dipanjangkan.
“Saya rasa cukuplah, kita dah nak Raya, ‘enough is enough’, hentikan polemik ini,” kata jurucakap kerajaan perpaduan itu.
Menegaskan gesaannya agar rangkaian kedai serbaneka KK Mart diboikot, Akmal dalam catatan di Facebook semalam berkata, rakyat sudah membuat keputusan tanpa sebarang paksaan.
Beliau juga dilaporkan oleh Malaysiakini bertanya sama ada Agong ada melarang boikot tersebut.
Sultan Ibrahim turut menegaskan agar jangan ada pihak mengambil kesempatan atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat.
“Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Agong selepas berkenan menerima pengasas KK Mart, Chai Kee Kan, menghadap di Istana Negara.
Baginda bertitah sedemikian buat kali kedua dalam tempoh seminggu mengenai kontroversi yang bermula apabila gambar stoking tertera kalimah Allah yang ditemukan di kedai KK Mart Bandar Sunway tersebar di media sosial pertengahan bulan lepas.
Berhubung perkara berasingan, Fahmi berkata, MyCreative Ventures Sdn Bhd merupakan antara agensi peneraju terbabit dalam penggubalan Akta Muzik disebabkan penglibatannya dalam industri muzik.
Katanya, kementerian juga sedang melihat kemungkinan untuk menubuhkan jawatankuasa pro tem untuk mempercepat penggubalan akta tersebut.
“Para penyanyi yg sediakan ‘content’ paling banyak. Kita lihat ada keperluan untuk teliti bukan sahaja kebajikan, malah kemampanan industri melalui satu akta tersendiri,” katanya.
Pada Ogos lepas, Fahmi mengumumkan satu akta untuk keseluruhan industri muzik akan digubal dalam masa dua tahun.