Stoking kalimah Allah: Sensitiviti rakyat semakin menurun, kata Ismail

Stoking kalimah Allah: Sensitiviti rakyat semakin menurun, kata Ismail

Bekas perdana menteri juga menyeru pemantauan yang lebih baik bagi mencegah perbuatan ganas.

Ismail Sabri Yaakob berkata semua pihak perlu menghormati satu sama lain, mengenali budaya setiap bangsa.
PETALING JAYA:
Isu penjualan stoking tertera kalimah Allah memperlihatkan sensitiviti rakyat semakin menurun walaupun hidup dalam suasana majmuk, menurut Ismail Sabri Yaakob.

Bekas perdana menteri itu berkata semua pihak perlu menghormati satu sama lain, di samping memahami budaya setiap bangsa, bagi mengelak perkara sama berulang.

“Macam soal agama bukan setakat Islam sahaja tidak boleh disentuh, agama orang lain pun kita perlu hormat. Tak boleh kata mereka kena hormat kita sahaja, kita pun kena hormat dia dan kadang-kadang kena letak diri kita dalam diri orang lain.

“Soal kesucian agama adalah soal yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana agama. Saya yakin jika gambar tuhan agama lain juga diletakkan di stoking, agama lain juga tidak boleh berkompromi. Jadi semua pihak mesti berhati-hati dalam perkara yang membabitkan agama,” katanya dalam temu bual khas dengan FMT.

Ismail mengingatkan bahawa Malaysia mempunyai masyarakat berbilang agama dan budaya, yang pada asasnya hidup secara aman dan damai.

Tegasnya, mesej Keluarga Malaysia itulah yang beliau tekankan sepanjang pentadbirannya.

“Disebabkan itu saya memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia supaya dapat hidup seperti sebuah keluarga menyayangi dan menghormati satu sama lain.

“Kepelbagaian ini satu keunikan yang sepatutnya dirai dan menjadi kebanggaan rakyat kita,” katanya.

Baru-baru ini, KK Mart diselubungi kontroversi selepas beberapa gambar stoking tertera kalimah Allah yang ditemui di sebuah cawangan KK Mart tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan orang Islam dan desakan boikot oleh Pemuda Umno.

Meskipun pihak yang berkenaan sudah memohon maaf dan beberapa individu didakwa di mahkamah, mutakhir ini menyaksikan tiga cawangan kedai serbaneka itu dibaling ‘molotov cocktail’, dengan kejadian terbaru di Kuching, Sarawak.

Perkembangan itu mendorong Ismail menyeru pemantauan yang lebih baik bagi mencegah perbuatan ganas.

“Takut bila ada ‘molotov cocktail’. Takut merebak dan akhirnya yang susah kita lah. Harap dapat diselesaikan.

“Sepatutnya penghinaan terhadap agama Islam ini tidak boleh berlaku langsung jika kita mempunyai sikap menghormati dan memahami budaya serta agama lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.