Keasyikan limpahan warna dan pancuran air berirama di Selayang

Keasyikan limpahan warna dan pancuran air berirama di Selayang

Di 99 Wonderland Park, pengunjung boleh menikmati pertunjukan air pancut berirama terbesar di Malaysia, yang menelan belanja RM15 juta untuk dibangunkan.

99 Wildlife Magical Adventure menyajikan pertunjukan pancuran air dengan irigan muzik, cahaya, dan cerita.
KUALA LUMPUR:
Menelusuri jalan utama ke Selayang, pengguna pasti ternampak cahaya terang-benderang menyimbah langit malam.

Didorong perasan ingin tahu, kru FMT ke taman rekreasi 99 Wonderland Park yang terletak kira-kira 15 minit pemanduan dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Di taman berkeluasan 9.2 hektar ini terdapat sebuah tasik yang menyediakan pertunjukkan air pancut berirama terbesar di Malaysia.

Dari Jumaat hingga Ahad setiap jam 8 malam, pertunjukkan 30 minit itu bermula dengan pancuran air pelbagai bentuk, yang memantulkan warna bermacam jenis, diiringi muzik rancak serta diselangi percikan api. Tempat duduk disediakan bagi pengunjung untuk menikmati persembahan bermuzik ini dengan selesa.

Pancuran air pelbagai bentuk memantulkan warna bermacam jenis, diiringi muzik rancak serta diselangi percikan api di 99 Wonderland Park.

Berbaki 15 minit, penonton disajikan dengan ’99 Wildlife Magical Adventure’, sebuah pertunjukan bercerita dengan iringan air pancut berirama. Ketika lawatan kami, kru FMT dihidangkan dengan kisah empat haiwan – seekor beruang matahari, burung macaw, monyet capuchin, dan lemur ekor gelang yang diselamatkan oleh seorang wira bernama Jeff daripada gangguan makhluk jahat.

Dimiliki sepenuhnya oleh syarikat hartanah JL99 Group, pengerusi eksekutifnya Lee Boon Kiat berkata air pancut berirama dengan teknologi LED ini dibangunkan dengan kos RM15 juta. Satu pasukan teknikal khas terlebih dahulu memeriksa kesesuaian tasik dan kedalamannya untuk membangunkan air pancut ini.

“Air pancut ini bukan macam di tempat lain yang kebanyakannya sedalam tiga kaki, tetapi ini di dalam tasik yang agak dalam jadi kerja-kerja pemasangan alat agak rumit dan mencabar, serta mengambil masa agak lama untuk siap,” katanya kepada FMT.

‘Magical Bridge’ disinari lampu warna-warni antara tumpuan utama pengunjung.

Selain kos pembinaan yang mahal, JL99 Group memperuntukkan puluhan ribu untuk penyelenggaraan sistem air pancut itu. “Kadang-kala ada hari ada masalah, macam percikan api tak semua hari dia keluar. Kadang-kadang rosak, jadi kita kena selanggara setiap hari.”

Pelaburan dan komitmen Lee untuk menghiburkan pengunjung ternyata mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records baru-baru ini, iaitu pertunjukan air pancut bermuzik terbesar dan pertunjukan air pancut bermuzik bersama animasi 3D yang pertama.

Penonton menyaksikan persembahan air pancut muzikal animasi 3D 99 Wildlife Magical Adventure.

Selain itu, 99 Wonderland Park turut menyediakan sebuah zoo berkonsep terbuka dengan lebih 60 spesis haiwan seperti capybara, racoon, buaya tembaga, beruang matahari, dan burung kasawari.

Zoo ini dibuka setiap hari dari 5 petang hingga 11 malam pada hari biasa dan 5 petang hingga 12 tengah malam pada hujung minggu.

Limpahan cahaya mewarnai sekeliling taman ini, khususnya di Magical Bridge yang menjadi tumpuan ramai.

Di samping merangsang deria dengan kepelbagaian warna dan bunyi-bunyian, pengunjung boleh juga mengunjungi taman dinosaur, atau mencuba ferries wheel serta paddle boat.

Pendek kata, memang tak jemu berkunjung ke 99 Wonderland Park, yang turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung, termasuk tandas awam, restoran, dan surau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.