
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata KKM kini dalam usaha mempromosikan kepentingan X-Break kepada komuniti seperti di tempat kerja dan institusi pendidikan bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam masyarakat.
“Justeru saya mohon semua pihak pengurusan tertinggi, ketua jabatan dan ketua sektor untuk memastikan perkara ini diambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Penyertaan Terbesar Acara X-Break Secara Virtual.
Katanya, semua program berstruktur kementerian yang melebihi tempoh masa melebihi dua jam kecuali mesyuarat dan perbincangan digalak melaksanakan inisiatif ini.
Pelaksanaan X-Break juga adalah selaras surat pekeliling dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Borhan Dolah bertarikh 17 April 2019 yang menyatakan semua pejabat kerajaan dan swasta digalakkan mengadakan X-Break selama 15 minit setiap hari pada hari bekerja bagi memastikan penjawat awam dan sektor swasta kekal aktif semasa waktu bekerja.
Zaliha berkata, X-Break juga merupakan salah satu inisiatif bagi mengelak budaya sedentari dalam kalangan rakyat selain dapat meningkatkan imuniti badan.
Beliau memetik kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2018 yang mendapati jika seseorang duduk terlalu lama pada satu-satu masa, ia berpotensi meningkatkan risiko sakit jantung, kematian pramatang dan diabetes.
Pengiktirafan MBOR tersebut diterima KKM menerusi penganjuran X-Break Mega bersama warga institusi pendidikan secara virtual pada 6 Julai lepas yang diadakan bersempena Sambutan Minggu Sihat Program Promosi Kesihatan di Institusi Pendidikan (Hepili) 2023 Peringkat Kebangsaan dari 1 Julai hingga 7 Julai lalu.
X-Break Mega disertai lebih sejuta peserta secara virtual merangkumi murid prasekolah, pelajar sekolah rendah dan menengah serta warga institusi pendidikan seluruh negara.
Sijil pengiktirafan diserahkan oleh Perunding Kanan MBOR, Edwin Yeoh Tiong Chin kepada Zaliha pada majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.