Kontrak kerajaan dengan Spanco masih berjalan, kata MoF

Kontrak kerajaan dengan Spanco masih berjalan, kata MoF

Kerajaan sentiasa memastikan kontrak perolehan Spanco bagi membekal dan menguruskan kenderaan mematuhi tatacara perolehan serta melaksanakan semua 'due diligence'.

SPRM sedang menyiasat Spanco Sdn Bhd atas sebab ia diberikan tugas menguruskan kenderaan kerajaan. (Gambar Spanco)
PETALING JAYA:
Kontrak Putrajaya dengan Spanco Sdn Bhd, syarikat mengendalikan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan masih berjalan, kata Kementerian Kewangan (MoF).

“Kerajaan sentiasa memastikan kontrak perolehan Spanco bagi membekal, menyelenggara dan menguruskan ‘fleet’ kenderaan kerajaan dilaksanakan mengikut keperluan, mematuhi tatacara perolehan dan melaksanakan semua ‘due diligence’ sepatutnya.

“Buat masa ini, kontrak masih berjalan berdasarkan ketetapan yang dimeterai antara kerajaan dengan Spanco,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen bertarikh 12 Mac terhadap soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) sama ada kontrak dengan Spanco merugikan negara dan jika perlu, ia ditamatkan.

Spanco dilaporkan memegang konsesi untuk membekal dan menguruskan “fleet” kenderaan kerajaan dari 1993 dan berakhir 2019.

Tender terbuka dilancarkan tahun itu sebagai usaha sama, dengan Berjaya Group dan Naza Sdn Bhd dilaporkan memperoleh surat hasrat untuk perjanjian berkenaan.

Syarikat itu kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sebab ia diberikan tugas untuk menguruskan kenderaan kerajaan.

Beberapa individu, termasuk pegawai utama kerajaan dan seorang ahli perniagaan dijangka memberi penjelasan kepada SPRM.

Awal bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata kontrak perolehan Spanco hanya merugikan negara dan beliau tahu ia tidak menyenangkan penjawat awam yang menggunakan kemudahan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.