
Setiausaha Agung Kamarul Baharin Mansor berkata alasan menunggu pelabur baharu bagi mengambil alih syarikat tidak munasabah, kerana pembayaran gaji perkara asas dalam pekerjaan.
“Keupayaan syarikat mendapat pelabur baharu amat diragui kerana pemberhentian operasi telah memasuki bulan kelima,” katanya dalam kenyataan.
Kamarul berkata maklumat menyatakan pelabur daripada Timur Tengah menarik diri membuatkan pekerja tawar hati meunggu.
Pada 12 Okt tahun lepas, MYAirline menggantung operasi serta-merta kerana menghadapi “tekanan kewangan yang ketara”, kira-kira 11 bulan selepas beroperasi.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dilapor berkata pelabur baharu yang mahu memulihkan MYAirline perlu pastikan tunggakan gaji kakitangan dibayar, di samping membuat bayaran balik kepada penumpang.
MTUC bertegas nasib pekerja MYAirline yang tidak dibayar gaji mesti dibela, mengatakan syarikat gagal membayar gaji sejak Oktober 2023.
Kamarul menggesa Kementerian Sumber Manusia bertindak dan memaklumkan semua pekerja terkesan status tuntutan gaji mereka.
“Keutamaan kementerian adalah mendapatkan bayaran tunggakan gaji bagi memastikan nasib pekerja terbela,” katanya.
MTUC juga menggesa kerajaan melakukan perubahan ke atas kaedah pembayaran gaji, faedah penamatan, atau apa-apa faedah apabila syarikat menutup operasi.
Beberapa akta juga perlu dipinda supaya syarikat lebih bertanggungjawab kepada pekerja, yang mesti diberi keutamaan bila mana syarikat diisytiharkan muflis.