Amirudin kumpul sokongan menjelang pemilihan PKR, kata sumber

Amirudin kumpul sokongan menjelang pemilihan PKR, kata sumber

Sekurang-kurangnya dua lagi Adun Bersatu dijangka menyatakan sokongan kepada menteri besar Selangor.

Abdul Rashid Asari menyokong Amirudin Shari beberapa hari selepas Bersatu meluluskan pindaan perlembagaannya bagi melucutkan keahlian wakil rakyat secara automatik jika menyokong parti lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ikrar Adun Bersatu Abdul Rashid Asari terhadap Amirudin Shari baru-baru ini bertujuan meningkatkan sokongan kepada menteri besar Selangor itu menjelang pemilihan PKR akan datang, kata sumber parti.

“Pada asalnya, pemilihan parti dijangka tahun depan, tetapi kini terdapat ura-ura ia mungkin diadakan akhir tahun ini,” kata sumber itu.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya dua lagi Adun Bersatu dijangka menyatakan sokongan kepada Amirudin.

Keputusan Rashid menyokong Amirudin diumumkan beberapa hari selepas Bersatu meluluskan pindaan perlembagaannya bagi melucutkan keahlian wakil rakyat mereka secara automatik jika menyokong mana-mana parti atau dasar lain yang tidak selaras pendirian Bersatu.

Pindaan itu, yang tertakluk kepada kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, sumber lain daripada Bersatu berkata Rashid, wakil rakyat Selat Klang, menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri kerana tidak berpuas hati dengan parti sendiri.

“Sejak timbul laporan seorang pemimpin Bersatu mengunjungi Pejabat Perdana Menteri, banyak perkara berlaku dalam parti yang memihak kepada pemimpin itu, daripada pelantikannya sebagai ketua negeri sehinggalah pelantikan individu yang sehaluan dengannya ke majlis pimpinan tertinggi,” kata sumber itu.

Katanya, hal ini berlaku kerana Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bimbang pemimpin itu mungkin menarik wakil rakyat parti “ke pihak lain”.

Sumber berkata, ini mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ramai ahli parti, dan mendorong tindakan Rashid menyatakan sokongan kepada Amirudin.

Bulan lalu, FMT melaporkan seorang pemimpin tinggi Bersatu dilihat mengunjungi Perdana Putra, dikatakan untuk berunding mengenai “kelangsungan” pemimpin parti tertentu sehingga pemilihan Bersatu seterusnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.