Wanita cekal tekad sumbang kepakaran industri aeroangkasa

Wanita cekal tekad sumbang kepakaran industri aeroangkasa

Industri aeroangkasa bukan mudah untuk diceburi, namun Norilmi Amilia Ismail berazam terus menyumbang kepada industri dipelopori kaum Adam ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SpaceIn, Norilmi Amilia Ismail semasa ditemu bual FMT.
PETALING JAYA:
Industri aeroangkasa bukan mudah untuk diceburi, namun wanita cekal, Norilmi Amilia Ismail enggan menoleh ke belakang dan berazam terus menyumbang kepada industri dipelopori kaum Adam ini.

Tahun lalu, syarikat diasaskannya, SpaceIn melakar sejarah dengan pelancaran satelit kecil piko pertama Malaysia ke angkasa yang dikenali sebagai SpaceANT-D dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM).

Projek itu membuka mata banyak pihak terhadap kemampuan dan daya saing anak tempatan dalam industri aeroangkasa.

Kini, SpaceIn dalam misi menghasilkan satelit SpaceANT-1 bagi tujuan pengurusan hutan yang dijangka dilancarkan hujung tahun ini.

Norilmi (depan, tengah) bersama pasukannya ketika melakukan ujian satelit di Agensi Angkasa Malaysia.

Satelit itu berfungsi menerima data daripada sensor di hutan untuk dihantar semula ke stesen bumi dan “cloud” (penyimpanan digital) untuk memudahkan pengambilan data oleh pengguna.

Impian Norilmi, dengan penghasilan satelit 100% keluaran anak tempatan ini, negara tidak perlu bergantung kepada teknologi luar semata-mata.

“SpaceIn ingin membangunkan industri tempatan, membina komponen yang kita buat di negara kita sendiri,” tambahnya lagi.

Norilmi yang juga penyelaras program angkasa di Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa USM berkongsi perit jerihnya membangunkan SpaceIn.

“Ia tidak mudah sebagai pengasas wanita, kadang-kadang bila jumpa pelabur, mereka tak mahu bekerjasama kerana stereotaip itu ada. Selalunya sebagai wanita, anda kena buktikan yang anda boleh buat,” kata Norilmi yang berkhidmat di USM sejak 2012.

Satelit Piko pertama di Malaysia, SpaceANT-D milik SpaceIn Sdn Bhd dilancarkan November lalu.

Walaupun sering berdepan diskriminasi, ternyata Norilmi mampu menanganinya dengan baik, yang diterjemah menerusi kejayaan SpaceIn meluncurkan SpaceANT-D ke angkasa.

Beliau berharap wanita berbakat dalam negara akan yakin dan berani memberi pandangan, idea serta cerdas menyelesaikan masalah yang timbul.

“Di Malaysia ramai graduan (wanita) dalam bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik). Tetapi, ada kelompongan di tengah-tengah kerjaya, berhenti kerana keluarga dan juga perkara lain.

“Jadi, penting bukan setakat untuk wanita, tetapi lelaki juga perlu menyokong wanita supaya kekal dalam industri mahupun perniagaan kerana perlu ada pandangan daripada wanita,” katanya.

Beliau juga satu-satunya mentor dari Malaysia dalam program Space4Women pada 2022 oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Hal Ehwal Angkasa yang memberi peluang pendidikan dan kerjaya angkasa serta STEM dalam kalangan wanita di seluruh dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.