Hari Wanita 2025 peluang kongsi pengalaman, kata Nancy

Hari Wanita 2025 peluang kongsi pengalaman, kata Nancy

Menteri Pembangunan wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata wanita perlu diberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan kemahiran meliputi pelbagai topik.

Interview Menteri Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri
Menteri Nancy Shukri berkata usaha memperkasa wanita akan dipergiatkan pada sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini.
PETALING JAYA:
Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 akan menjadi platform kepada lebih ramai wanita untuk berkongsi pengalaman dan idea mengenai perkara yang memberi kesan kepada mereka, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri.

Nancy berkata wanita akan dapat berkongsi pandangan tentang pelbagai isu yang memberi kesan kepada mereka, mempelajari kemahiran baharu dan bertukar idea dengan rakan sebaya.

Sambutan tahun ini dianjurkan di lima zon di seluruh negara dengan acara kemuncaknya diadakan di Kuala Lumpur. Ini berbeza dengan amalan sebelum ini yang mana acara besar hanya diadakan di Kuala Lumpur sahaja. Ia bagi memberi peluang kepada lebih ramai wanita untuk bersama-sama terlibat dalam majlis ini.

Acara sambutan telah diadakan di Kuching, Sarawak bagi Zon Borneo, dan di Kuala Terengganu bagi Zon Timur. Untuk warga utara sambutan telah diadakan di Ipoh, Perak, manakala warga selatan telah diraikan di Johor Bahru. Bagi Zon Tengah, majlis telah diadakan di Seremban.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan melancarkan acara utama di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur esok (8 Mac).

Nancy berkata sambutan Hari Wanita Antarabangsa ini memberi peluang kepada wanita untuk bertemu dan berkongsi kisah mereka.

“Mereka juga boleh berkongsi pandangan tentang perkara yang mungkin belum disedari oleh wanita di tempat lain,” katanya kepada FMT dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Menurut Nancy, peluang menghimpunkan ramai wanita di tempat dan pada masa yang sama untuk berkongsi kisah dan pengalaman masing-masing merupakan satu cara memperkasakan golongan wanita.

Beliau berkata inisiatif memperkasakan wanita daripada komuniti yang kurang diwakili dan dari luar bandar adalah amat penting.

“Kami berharap dapat melihat lebih ramai wanita didengari dan disokong. Acara ini suatu peluang untuk mereka,” katanya.

Pusat LaWa: Memajukan kemahiran kewangan dan digital

Memandangkan usaha mempertingkatkan pemerkasaan wanita adalah proses berterusan, kementerian menubuhkan Laman Wanita (LaWa), yang berfungsi sebagai pusat komuniti yang memberi tumpuan kepada program meningkatkan kemahiran bagi golongan wanita.

Selain itu, pusat-pusat ini juga berfungsi sebagai platform di mana wanita boleh menjual produk dan berkongsi kepakaran dengan wanita lain, kata Nancy.

Sebanyak 14 pusat LaWa ditubuhkan, merangkumi tujuh negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, dan Labuan.

Nancy turut berkongsi kisah seorang wanita yang mendapat manfaat daripada inisiatif LaWa.

Individu itu telah berhenti kerja sebagai jurutera semasa pandemik Covid-19 untuk membuat peralihan kepada menghasilkan makanan sejuk beku.

“Kemahiran beliau sebagai jurutera memberi kelebihan kepadanya dalam mencipta rangkaian produk yang pelbagai. Wanita lain kemudian datang untuk melihat apa yang dia lakukan dan mereka belajar daripadanya. Inilah tujuan LaWa,” katanya.

Nancy berkata pusat LaWa juga berfungsi sebagai platform untuk wanita memperoleh ilmu celik kewangan, kemahiran digital dan kebebasan kewangan. Pakar kerap diundang untuk bercakap mengenai topik-topik ini.

“Apabila wabak melanda, wanita menyedari kemahiran digital sesuatu yang penting kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan platform jualan atas talian untuk berniaga. Mereka datang ke pusat LaWa untuk mempelajari kemahiran ini,” katanya.

Kementerian juga telah memperkenalkan ‘LaWa On The Go’, versi bergerak program yang sama, untuk memberi kemudahan kepada wanita di negeri-negeri di mana LaWa belum ditubuhkan.

Trak sukarelawan turun ke lapangan untuk menawarkan bantuan dan kepakaran.

“Inilah cara kami mencapai lebih ramai wanita. Tiada siapa yang tercicir,” katanya.

Nancy menegaskan usaha sedemikian mempunyai kesan berganda. “Dengan membantu wanita, kami juga membantu keluarga dan negara secara keseluruhan,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.