
Berucap di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada acara meraikan Hari Wanita Antarabangsa 2025 hari ini, Nancy berkata, masyarakat mesti menghapuskan stigma terhadap wanita yang ingin mengejar kerjaya mereka.
“(Kita) harus terus memperjuangkan hak dan peluang yang saksama. Malaysia Madani tidak akan lengkap tanpa penyertaan dan sumbangan wanita dalam pelbagai aspek pembangunan negara,” katanya.
Nancy berkata, penyertaan wanita dalam tenaga kerja kekal rendah pada tahap 56.2%, sambil menambah ramai wanita terpaksa menghentikan kerjaya selepas berkahwin atau melahirkan anak.
“Penglibatan wanita dalam peranan pembuat keputusan di sektor awam dan swasta masih kurang, menunjukkan perlunya usaha lebih besar dalam memperkukuh kepimpinan wanita,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan telah menetapkan sasaran kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja pada 60%, sebagai antara usaha memastikan wanita mempunyai akses kepada peluang ekonomi yang adil dan setara.
Nancy berkata, kementeriannya telah menganjurkan acara pra-Hari Wanita, dengan penglibatan agensi kerajaan negeri, Pos Malaysia, polis, jabatan kesihatan negeri, TalentCorp dan NGO, antara lain.
“Antara aktiviti utama yang dianjurkan termasuk kempen kesedaran dan advokasi, forum serta sesi dialog bersama pemimpin wanita dan pakar dalam pelbagai bidang, serta diskusi yang membincangkan aspek kepimpinan, ekonomi, dan kesejahteraan wanita,” katanya.