
Syarul Ema lebih dikenali sebagai Ratu Naga dibawa ke SPRM pada 16 Feb lalu untuk siasatan.
Media melaporkan dia disiasat atas “ganjaran” yang didakwa diterimanya kerana membantu NGO mendapatkan geran.
Syarul Ema mendakwa dia dinafikan akses kepada peguamnya pada 16 Feb lalu.
“Tujuh pegawai SPRM datang ke rumah saya pada 16 Feb dan memaklumkan mereka mahu melakukan serbuan dan penggeledahan.
“Mereka merampas telefon bimbit dan komputer riba saya. Selepas serbuan dan penggeledahan selesai, saya ditahan dan dibawa ke ibu pejabat SPRM.”
Katanya, dia memaklumkan penahanan itu kepada peguamnya, Nabila Khairuddin.
“Saya memberitahu pegawai bahawa saya mahu Nabila bersama saya apabila mereka merekodkan kenyataan saya,” katanya sambil menambah SPRM didakwa menolak permintaannya.
SPRM membenarkan Syarul Ema pulang petang hari sama.
Dia menuntut deklarasi bahawa tindakan SPRM melanggar haknya untuk mendapatkan peguam seperti termaktub bawah Perlembagaan Persekutuan.
Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 12 Mac ini.