Kadet tentera laut diserang sebelum meninggal dunia, mahkamah diberitahu

Kadet tentera laut diserang sebelum meninggal dunia, mahkamah diberitahu

Saksi memaklumkan melihat seorang pegawai duduk di perut J Soosaimanicckam dan menamparnya berkali-kali.

Pegawai kadet J Soosaimanicckam meninggal dunia ketika menjalani latihan di pangkalan tentera laut di Lumut, Perak pada 19 Mei 2018.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen diberitahu kadet tentera laut, J Soosaimanicckam yang meninggal dunia ketika menjalani latihan, diserang oleh seorang pegawai di pusat latihan KD Sultan Idris di pangkalan tentera laut di Lumut, Perak sebelum kematiannya.

Bekas kadet Anas Hakimi Mat @ Ahmad berkata, beliau melihat pegawai itu dikenali sebagai “Ariff” duduk di atas perut Soosaimanicckam dan menampar mangsa berkali-kali.

“Kejadian berlaku sehari sebelum Soosai meninggal dunia (pada 19 Mei 2018).

“Ketika itu saya dan beberapa lagi sedang melakukan tekan tubi dan lompat bintang,” katanya.

Katanya, seorang lagi pegawai dikenali sebagai “Rahim”, datang dan menghentikan tindakan itu.

Anas, kini seorang peguam, memberi keterangan dalam saman difailkan keluarga Soosaimanicckam terhadap kerajaan dan tentera laut kerana cuai.

Keluarga itu mendakwa defendan gagal memberikan rawatan segera kepada Soosaimanicckam.

Mereka juga mendakwa Soosaimanicckam didera oleh beberapa individu yang dinamakan dalam saman itu.

Dalam keterangannya, Anas berkata Soosaimanicckam juga menjadi mangsa diskriminasi oleh pegawai di KD Sultan Idris.

Katanya, kadet itu mahu meminta cuti sakit tetapi pegawai penyelia, Faiz Zanila menolak permohonan itu.

“Faiz menuduh Soosai seorang yang ‘manja’,” katanya.

Anas juga memberitahu mahkamah, jurulatih di KD Sultan Idris melayan Soosaimanicckam dengan kasar kerana kadet itu “lembab”.

“Sebagai contoh, kami hanya diarahkan membuat 10 tekan tubi, tetapi jurulatih mengarahkannya membuat 30,” katanya.

Ketika disoal balas Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb, sama ada dia mengetahui bahawa laporan bedah siasat mendapati tiada kesan lebam pada mayat Soosaimanicckam, Anas menjawab tidak.

“Kamu kata dia ditampar berkali-kali. Adakah kamu bersetuju ia akan meninggalkan kesan lebam pada mukanya?,” kata Ezdiani.

“Tidak semestinya,” jawab Anas.

Dua abang Soosaimanicckam, Charles dan Calvin turut memberi keterangan hari ini.

Charles memberitahu mahkamah Soosaimanicckam ada menghantar mesej mendakwa dia “diseksa” ketika dalam latihan.

Calvin pula berkata, rakan-rakan Soosaimanicckam di KD Sultan Idris memberitahunya, pegawai di situ enggan membenarkan kadet itu mengambil cuti sakit.

Tahun lalu, satu inkues bagi menentukan punca kematian Soosaimanickam berakhir dengan keputusan terbuka.

Perbicaraan di hadapan Hakim Idah Ismail bersambung 17 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.