
Ketua Polis Kapit, Rohana Nanu berkata, Sarjan Jonathan Lambet dari cawangan kebajikan dan Konstabel Iskandar Ibrahim dari cawangan persenjataan di IPD Kapit, mengiringi 35kg bahan letupan serta peledak – 1050rds dari Kuching ke Ng Tulie di Kapit.
Selain dua anggota polis itu, katanya, terdapat tiga lagi penumpang menaiki bot berkenaan.
“Semasa sampai di tempat kejadian, bot tersebut membelok ke kiri sedikit menuju hulu sungai dan menempuh air berpusar menyebabkan bot terbalik dan karam.
“Seorang mangsa sempat diselamatkan orang awam, manakala empat lagi belum ditemui,” katanya menurut Bernama malam tadi.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Andy Alie berkata, mangsa yang diselamatkan orang awam dikenali sebagai Moses Ngui, 47, manakala dua orang awam masih hilang dikenal pasti sebagai Amerson John Nain dan Jack Balan.
Beliau berkata, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit tiba di lokasi sejauh 13km itu 20 minit selepas menerima panggilan pada 5.25 petang Khamis.
“Menurut saksi, kejadian itu berlaku sekitar 5 petang di mana lima penumpang menaiki bot fiber (dilengkapi enjin sangkut) 30 kuasa kuda.”
Katanya, pasukan bomba membuat pencarian di permukaan air dalam radius 1km dari lokasi mangsa terakhir dilihat, tetapi akibat arus kuat dan keadaan beransur gelap, operasi ditangguhkan pada 6.50 petang dan akan disambung hari ini.