
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu, Mazre Che Mahmod, berkata tiga mayat itu dijumpai aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Sri Indera Sakti, kira-kira 20 batu nautika dari lokasi kejadian sekitar 6 petang semalam.
“Buat masa ini, siasatan berhubung identiti ketiga-tiga mangsa masih dalam siasatan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa bot karam yang ditemui setakat ini 30 orang, selepas 23 daripadanya diselamatkan pada hari pertama operasi mencari dan menyelamat (SAR) Isnin lalu.
“Kita masih mengesan tujuh lagi mangsa insiden tersebut, operasi SAR yang masuk hari ketiga melibatkan PPM, TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bermula kira-kira 7 pagi tadi.”
Semalam, empat mangsa ditemui pada hari kedua operasi SAR.
Sementara itu, operasi SAR hari ini membabitkan dua aset PPM, iaitu PSC 16 dan PSC 24, tiga aset TLDM terdiri daripada KD Sri Indera Sakti, FCB 1001 dan FCB 1030, selain tiga aset APMM membabitkan Kapal Maritim Malawali, Benteng 1203 serta pesawat Bombardier CL415MP dari Stesen Udara Subang.
Semalam, APMM Perak menyelamatkan 23 warga Indonesia, selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Pangkor dekat Lumut, Isnin lalu.
Bot terbabit dipercayai membawa 37 Pati dari Indonesia dan dikendalikan kru warga Myanmar.
Semuanya dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei lalu menuju ke Malaysia membabitkan beberapa destinasi dipercayai Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.