
Peguamnya, R Kengadharan berkata, notis rayuan telah difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi semalam.
“Kita juga telah meminta Mahkamah Tinggi mengeluarkan penghakiman penuh agar kami boleh memfailkan memorandum rayuan secepat mungkin,” katanya kepada FMT.
Pada 15 Feb, Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan adalah bahagian intrinsik struktur asas Perlembagaan Persekutuan.
“Bawah peruntukan ini, mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu,” katanya ketika menolak saman Syed Iskandar.
Peguam itu meminta Mahkamah Tinggi menentukan sama ada keengganan Agong menerima nasihat perdana menteri untuk mengisytiharkan darurat pada Oktober 2020 boleh dicabar di mahkamah.
Beliau menamakan kerajaan dan perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin sebagai defendan.
Wan Ahmad Farid berkata, Perkara 40(1) Perlembagaan memperuntukkan Agong bertindak atas nasihat Jemaah Menteri.
Beliau juga berkata, mahkamah selalu menganggap perkara keselamatan sebagai “tekstur yang pelik”.
“Jemaah Menteri, sebagai cabang eksekutif kerajaan, memiliki maklumat risikan mengenai perkara keselamatan yang mana mahkamah tidak mempunyai (akses),” katanya.
Justeru, katanya, Jemaah Menteri berada dalam kedudukan terbaik untuk menasihati Agong mengenai perkara-perkara sebegitu.
Bagaimanapun, beliau berkata, penggunaan kuasa Agong untuk mengisytiharkan darurat bawah Perkara 150 Perlembagaan adalah tidak wajar.
Katanya, walaupun penyingkiran bidang kuasa mahkamah mungkin kelihatan keras dan tidak adil, penyelesaian sebenar terletak pada badan perundangan.
Perkara 150(8) tidak melanggar struktur asas perlembagaan dan tidak boleh dibatalkan mengikut Perkara 4(1), tambahnya.