
Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang, berkata tindakan itu antara langkah dalam program transformasi “Goodyear Forward” yang direka untuk mengoptimumkan operasi syarikat.
“Program ini termasuk tindakan khusus untuk mengurangkan kos tahunan sebanyak USD1 bilion (RM4.73 bilion) menjelang 2025, bagi memastikan kami kekal berdaya saing dan berada di kedudukan sebagai peneraju industri.
“Justeru, sebagai sebahagian daripada usaha ini, Goodyear membuat keputusan yang sukar tetapi perlu untuk menutup kilang pembuatan kami di Shah Alam, Malaysia, berkuat kuasa 30 Jun 2024, dengan penutupan dijangka selesai menjelang akhir tahun,” katanya dalam kenyataan menurut Utusan Malaysia.
Mengetahui keputusan itu akan menjejaskan kira-kira 550 pekerjanya di negara ini, Nathaniel menjelaskan pihaknya komited mengambil kira kebajikan pekerjanya dalam proses berkenaan.
“Ia tidak dibuat dengan mudah, tetapi kami perlu mengambil keputusan itu untuk memajukan kepentingan jangka panjang perniagaan dan pelanggan kami,” katanya.
Bagaimanapun, Goodyear Malaysia kekal dalam pasaran tempatan dengan tayar yang akan dibawa masuk dari kilang lain di Thailand, Indonesia, China dan Taiwan.
Kilang Goodyear di Shah Alam dibuka sejak 1972.
Goodyear hadir ke Tanah Melayu seawal 1929 dan menjadi pembekal tayar untuk kereta pertama negara, Proton Saga dalam tahun 1985.