
Saifuddin berkata, dakwaan itu tidak pernah didengarnya, dan beliau menggesa pertubuhan itu menyatakan lokasi depot yang dilaporkan menahan kanak-kanak itu.
“Apakah sumber mereka? Di mana insiden yang dikatakan ini berlaku? Di mana insiden ini dilaporkan?” soalnya, lapor Sinar Harian.
“(HRW) tidak boleh begitu sahaja (membuat dakwaan), kita ada 19 depot imigresen dan saya tahu dengan tepat jumlah kanak-kanak di setiap depot ini.”
Laporan HRW yang dikeluarkan awal hari ini mendakwa lebih 1,400 kanak-kanak ditahan di depot imigresen, dengan dua pertiga daripada mereka tidak ditemani atau dipisahkan daripada keluarga.
Laporan itu juga mendakwa, kanak-kanak ditahan bersama orang dewasa yang bukan saudara kandung mereka.
Mengenai dakwaan tahanan hidup serba kekurangan, Saifuddin berkata, tidak ada isu sedemikian di depot tahanan imigresen.
Katanya, kesesakan di depot tahanan hanya berlaku ketika wabak Covid-19, apabila tahanan tidak dapat dihantar pulang ke negara asal.
“Pada masa ini terdapat 19 depot dengan 13,000 penghuni. Di manakah kesesakan? Tidak ada,” tegasnya.
Tambah, pengesahan dokumen dijalankan bagi warga asing yang ditahan di depot imigresen dan mereka yang mempunyai dokumen sah dibebaskan.
“Pada masa ini, terdapat banyak serbuan, tetapi setelah dianalisis, kami dapati kira-kira 80% tahanan didokumenkan dengan baik.
“Hanya kira-kira 20% (pendatang) tidak sah dan mereka ditahan,” katanya.