Bersatu serah keputusan pinda perlembagaan kepada JPPM dalam tempoh terdekat

Bersatu serah keputusan pinda perlembagaan kepada JPPM dalam tempoh terdekat

Ketua Penerangan Razali Idris yakin JPPM tidak akan 'susahkan' parti itu untuk lulus pindaan kosong kerusi jika wakil rakyatnya sokong lawan.

Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris dan Ketua Pemuda Wan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, senada jika berlaku kekosongan kerusi Parlimen, penyandang tidak akan diberi peluang oleh Umno.
PETALING JAYA:
Bersatu dalam tempoh terdekat akan serah keputusan pindaan perlembagaan parti berhubung pengosongan kerusi jika wakil rakyatnya sokong pihak bertentangan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk diluluskan.

Ketua Penerangan Razali Idris menyuarakan keyakinan JPPM tidak akan “menyusahkan” parti itu.

“Apabila persetujuan lebih 2/3 dari perwakilan tidak ada masalah JPPM nak luluskan. Saya tak nampak JPPM menyusahkan kita sebab pindaan perlembagaan perkara biasa sahaja,” katanya kepada FMT.

Sabtu lalu, Bersatu meluluskan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Sehingga kini, enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Sementara itu, mengulas situasi jika pindaan telah diluluskan sehingga membawa kepada pengosongan enam kerusi berkenaan, Razali berkata, penyandang tidak akan ‘berpeluang bertanding semula’, merujuk Umno telah menyatakan pendirian mahu bertanding.

“Kalau ada PRK siapa nak ambil mereka bertanding, kalau bertanding pun kalah, takkan Umno nak bagi laluan kepada mereka bertanding, Umno sudah cakap nak letak calon mereka, apakah Umno nak letak calon yang khianat kepada parti.

“Saya tak nampak kalau ada PRK enam orang ini akan bertanding atas tiket Umno, kalau nak bertanding juga atas tiket mesti atas tiket bebas…tapi kalau Umno nak bagi mereka tanding kita tak ada masalah terpulang la, kita lawan,” katanya.

Pada Ahad, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi, berkata gabungan itu sedia merebut kembali kerusi disandang Ahli Parlimen Bersatu sekiranya enam kerusi berkenaan dikosongkan, memandangkan kerusi tersebut sebelum ini pernah disandang BN, menerusi Umno.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata enam wakil rakyat itu masih mempunyai waktu mengubah fikiran menarik sokongan terhadap Anwar sebelum JPPM meluluskan pindaan perlembagaan.

“Kalau mereka hilang kerusi, Umno akan masuk bertanding dan jangan harap Umno nak beri mereka bertanding, jadi mereka akan kerugian kalau mereka masih enggan menarik sokongan terhadap PMX dan kembali kepada parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.