Sayap bukan Islam, ahli Gerakan jadi exco bukti PAS tak ‘hardline’, kata pemimpin

Sayap bukan Islam, ahli Gerakan jadi exco bukti PAS tak ‘hardline’, kata pemimpin

Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad berkata label ‘hardline’ hanya strategi politik untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Islam.

Iskandar Abdul Samad n Halimah Ali
Bendahari Iskandar Abdul Samad dan AJK Pusat Dr Halimah Ali menyangkal dakwaan PAS ‘hardline’.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PAS menolak dakwaan kononnya parti itu bersikap ‘hardline’ sehingga berisiko menjauhkan pengundi bukan Melayu daripada Perikatan Nasional (PN).

Bendahari Iskandar Abdul Samad berkata dakwaan itu tidak berasas kerana PAS mempunyai sayap khusus bukan Islam, iaitu Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), selain pernah mempertaruhkan calon bukan Islam dalam pilihan raya.

“Jika PAS benar-benar bersikap ‘hardline’, sudah tentu tidak wujud DHPP dan tiada calon bukan Islam diketengahkan.

“Begitu juga dengan pelbagai bentuk libat urus yang kami lakukan bersama komuniti bukan Islam,” katanya kepada FMT.

Menurut Iskandar, PAS turut menganjurkan dialog antara agama, termasuk pertemuan dengan pemimpin Kristian seperti paderi sebagai bukti keterbukaan parti itu.

“Kalau PAS ‘hardline’, tidak akan ada dialog bersama ketua-ketua agama lain. Label ini hanyalah strategi politik untuk menakut-nakutkan bukan Islam supaya tidak mengundi PAS dan PN,” katanya.

Iskandar turut menegaskan kepimpinan PAS hari ini terdiri daripada individu berkelayakan, termasuk golongan profesional dan teknokrat yang berpengalaman dalam pelbagai bidang.

“Jadi tidak perlu bimbang sekiranya PAS dan PN membentuk kerajaan,” katanya, sambil meminta pihak meragui keupayaan PAS membela kepentingan semua kaum supaya melihat keadaan di negeri ditadbirnya iaiu Kelantan, Kedah, Terengganu dan sebelum ini Perlis.

Iskandar turut merujuk kepada Kedah sebagai contoh apabila seorang Adun bukan Islam daripada Gerakan dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri.

“Jika PAS tidak adil, pelantikan itu tidak akan berlaku,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Pusat Dr Halimah Ali pula berkata istilah ‘hardline’ sering digunakan pihak yang tidak memahami perjuangan PAS.

Beliau menegaskan PAS komited memperjuangkan isu pendidikan, ekonomi, budaya, keadilan dan kebajikan untuk semua menerusi konsep ‘PAS for All’.

“Mereka yang memberi persepsi negatif ialah golongan masih fobia terhadap PAS kerana lama didoktrinkan pihak menentang PAS. ‘PAS for All’ bukan sekadar slogan,” kata Ahli Parlimen Kapar itu.

Minggu lalu, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, menulis mengenai pertemuan di kediaman presiden Bersatu pada 16 Jan lalu, mendakwa PAS mahukan jawatan pengerusi PN tetapi ditentang oleh Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

Marzuki berkata kedua-dua parti itu bersetuju Muhyiddin mengetuai majlis presiden PN kerana dianggap mampu mengimbangi “imej Islam PAS yang lebih bersifat hardline”.

Bagaimanapun, penganalisis melihat terdapat persamaan pendekatan dengan DAP, apabila imej ‘hardline’ digunakan sebagai alasan untuk menolak peluang PAS menerajui PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.