Bentang segera RUU wajib pendidikan prasekolah, kerajaan disaran

Bentang segera RUU wajib pendidikan prasekolah, kerajaan disaran

Tan Kar Hing (PH-Gopeng) berkata ia antaranya bagi mengatasi masalah keciciran murid.

Kerajaan disaran mewajibkan pendidikan prasekolah yang diyakini akan bantu atasi beberapa isu antaranya masalah keciciran murid. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan disaran untuk segera membentangkan rang undang-undang (RUU) mewajibkan pendidikan peringkat prasekolah, antaranya bagi mengatasi masalah keciciran dalam kalangan murid.

Tan Kar Hing (PH-Gopeng) berkata usaha itu penting dalam menjamin prasarana dan kualiti sistem pendidikan prasekolah sedia ada diperkemas, selaras keperluan dan unjuran murid pada tahun-tahun akan datang.

Beliau yakin ia juga akan mengatasi masalah tenaga pengajar prasekolah tidak capai kelayakan pendidikan minimum.

“Kerajaan menetapkan sasaran bagi guru-guru prasekolah mempunyai kelayakan minimum dalam Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) menjelang 2025. Namun hingga kini sebahagian besar pendidik masih tidak memiliki kelayakan itu.

“Maka apa yang kita perlu lakukan ialah segerakan pembentangan RUU ini bagi mengatasi masalah sebegini,” katanya dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilapor berkata, Jemaah Menteri pada 24 Jan lepas memutuskan agar sistem pendidikan prasekolah diselaraskan semula supaya kualiti pendidikan awal kanak-kanak lebih terjamin dan menyeluruh.

Susulan itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya mewujudkan pasukan khas untuk menyelaras semula sistem pendidikan prasekolah bagi mempercepat reformasi pendidikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.