85% pengguna lega tak terkesan cukai perkhidmatan bil elektrik

85% pengguna lega tak terkesan cukai perkhidmatan bil elektrik

Pengerusi Persatuan Pengguna dan Tenaga Malaysia T Saravanan berkata bil bulanan elektrik kumpulan itu tidak akan berubah selepas pelarasan.

Cukai perkhidmatan 8% hanya tertakluk kepada penggunaan elektrik melebihi 600kWj.
PETALING JAYA:
Pelarasan cukai perkhidmatan yang tidak terpakai kepada isi rumah menggunakan elektrik bawah 600 kilowatt sejam (kWj) melegakan kelompok itu, kata Pengerusi Persatuan Pengguna dan Tenaga Malaysia T Saravanan.

Saravanan berkata, kumpulan itu mewakili hampir 85% pengguna dijangka kekal membayar bil elektrik bawah RM200 selepas pelarasan berkenaan berkuat kuasa 1 Mac lalu.

“Mereka tidak kena tambahan 2% ST, sekarang kena pastikan penggunaan tidak terlalu tinggi dan kalau guna lebih sekali pun mungkin hanya perlu bayar sedikit.

“Perlu bijak contoh dalam cuaca panas sekarang yang mungkin menyebabkan penggunaan elektrik tinggi dengan penggunaan penyaman udara…boleh cari cara kurangkan dengan memastikan pengudaraan baik dalam rumah,” katanya kepada FMT.

Saravanan yang juga CEO Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkata, pelarasan cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 8% juga harus dilihat sebagai peluang mencari alternatif lain seperti penggunaan solar dan peralatan cekap tenaga.

“Kerajaan ada menyediakan insentif untuk pemasangan solar selain giat menggalakkan penggunaan peralatan cekap tenaga yang mempunyai label lima bintang diperkenal Suruhanjaya Tenaga,” jelasnya.

Pelarasan cukai itu hanya memfokuskan aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan dan aktiviti antara perniagaan bagi memastikan rakyat tidak dibebani kadar cukai kepenggunaan lebih tinggi, khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting.

Perkhidmatan yang banyak digunakan rakyat seperti makanan dan minuman, penghantaran makanan dan minuman, telekomunikasi serta parkir kenderaan kekal dengan cukai 6%.

Kerajaan menjangkakan tambahan hasil RM3 bilion daripada pelarasan itu yang akan membantu Putrajaya menambah baik bantuan bersasar kepada rakyat, menambah baik dan menyelenggara prasarana awam kritikal seperti penjagaan kesihatan, sekolah serta jalan raya.

Layari www.mof.gov.my/portal/ms/berita/soalan-lazim/soalan-lazim-peluasan-skop-perkhidmatan-bercukai-dan-perubahan-kadar-cukai-perkhidmatan untuk mendapat maklumat lanjut berhubung pelarasan cukai berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.