Agensi tenaga AS jangka pasaran minyak pulih awal 2027

Agensi tenaga AS jangka pasaran minyak pulih awal 2027

Ia meramalkan inventori minyak global akan susut secara purata 8.5 juta tong sehari pada suku kedua 2026 sekali gus mengekalkan harga minyak mentah Brent sekitar USD106 setong.

commercial ships Strait of Hormuz
Apabila trafik melalui Hormuz beransur pulih, harga Brent dijangka turun kepada purata USD89 setong pada suku keempat 2026, kata agensi itu. (Gambar AFP)
ISTANBUL:
Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat (EIA) menjangkakan pengeluaran minyak global dan aliran perdagangan sebahagian besarnya kembali ke paras pra-konflik menjelang akhir 2026 atau awal 2027, meskipun risiko di sekitar Selat Hormuz terus memberi tekanan kepada pasaran minyak, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam Tinjauan Tenaga Jangka Pendek bagi Mei yang dikeluarkan pada Selasa, EIA berkata trafik yang melalui Selat Hormuz sebahagian besarnya terhenti berikutan risiko serangan terhadap kapal tangki minyak dan sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap penghantaran minyak Iran melalui laluan perairan itu.

Agensi itu berkata pihaknya kini mengandaikan selat berkenaan akan kekal ditutup secara efektif hingga akhir Mei, dengan aliran dijangka beransur-ansur kembali pada akhir Mei atau awal Jun.

“Walaupun selepas aliran disambung semula, kami menjangkakan kebanyakan corak pengeluaran dan perdagangan sebelum konflik hanya akan kembali pulih menjelang akhir 2026 atau awal 2027,” menurut EIA.

Agensi itu menganggarkan pengurangan pengeluaran minyak di Asia Barat secara purata adalah 10.5 juta tong sehari pada April dan akan memuncak hampir 10.8 juta tong sehari pada Mei, apabila kekangan kapasiti simpanan memaksa pengeluar mengehadkan jumlah tambahan.

EIA berkata Iran juga dijangka mengurangkan pengeluaran sebahagiannya kerana sekatan AS menjejaskan keupayaan negara itu untuk mengeksport minyak.

EIA meramalkan inventori minyak global akan susut secara purata 8.5 juta tong sehari pada suku kedua 2026, sekali gus mengekalkan harga minyak mentah Brent sekitar USD106 setong pada Mei dan Jun.

Apabila trafik melalui Hormuz beransur-ansur pulih dan pengeluaran yang dihentikan mula disambung semula, agensi itu menjangkakan harga Brent turun kepada purata USD89 setong pada suku keempat 2026 dan USD79 setong pada 2027.

Bagaimanapun, EIA memberi amaran bahawa harga kekal sangat sensitif terhadap masa pembukaan semula selat itu.

Agensi itu berkata sekiranya pembukaan semula selat berkenaan tertangguh sebulan hingga akhir Jun, harga minyak mentah akan melebihi USD20 setong lebih tinggi berbanding unjuran semasa dalam jangka masa terdekat.

Harga akan kekal melebihi unjuran semasa hingga tahun depan, walaupun jurang itu dijangka semakin mengecil dari semasa ke semasa, menurut agensi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.