Tubuh suruhanjaya bukti kerajaan ambil serius nasib pekerja gig

Tubuh suruhanjaya bukti kerajaan ambil serius nasib pekerja gig

Penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig membuktikan komitmen kerajaan membela nasib mereka, khasnya dari aspek pendapatan dan kebajikan, kata Mohd Sharkar Shamsudin.

Mohd Sharkar Shamsudin berharap penubuhan suruhanjaya itu dapat menyelesaikan isu membabitkan pekerja gig. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig bukti kerajaan memberikan perhatian serius terhadap nasib golongan itu seperti diperjuangkan Sekretariat Komuniti Gig Malaysia, kata Pengerusinya, Mohd Sharkar Shamsudin.

Beliau dalam kenyataan berharap penubuhan suruhanjaya itu dapat menyelesaikan isu membabitkan golongan itu yang majoritinya anak muda, khasnya bagi menambah baik pendapatan dan kebajikan mereka.

“Selama beberapa tahun kegiatan ekonomi gig berjalan, nasib mereka tidak diambil peduli, terutama kerana syarikat penyedia perkhidmatan tidak menganggap penggiat gig sebagai pekerja dan diri mereka sebagai majikan.

“Terima kasih kita ucapkan kepada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) kerana memberi perhatian serius kepada penubuhan suruhanjaya terbabit dan merealisasikan harapan pekerja gig,” katanya yang juga ketua Umno Temerloh.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi yang begitu komited membela nasib pekerja p-panggilan dan e-panggilan, termasuk dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung Umno sebelum ini.”

Terdahulu, pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 hari ini, Anwar mengumumkan suruhanjaya itu akan ditubuhkan bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig.

Katanya, tumpuan suruhanjaya itu untuk memenuhi keperluan sosial, menyelesaikan pertikaian kontrak dan mendorong kemajuan kerjaya golongan terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.