Beri keutamaan tingkat taraf hidup anggota ATM, titah Raja Perlis

Beri keutamaan tingkat taraf hidup anggota ATM, titah Raja Perlis

Syed Sirajuddin Jamalullail titah kebajikan anggota tentera penting kerana mereka barisan hadapan lindungi kedaulatan negara.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail(Gambar Istana Arau) 28426
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika menerima sembah mengadap Panglima ATM, Malek Razak Sulaiman di Balai Menghadap Biru di Istana Arau. (Gambar Istana Arau)
PETALING JAYA:
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memberikan keutamaan untuk peningkatan taraf hidup serta kesiapsiagaan anggotanya.

Titah baginda, kebajikan anggota tentera penting kerana merekalah yang menjadi barisan hadapan dalam melindungi dan pertahankan setiap inci kedaulatan wilayah negara daripada sebarang ancaman.

“Kediaman yang kondusif bagi anggota dan keluarga mesti disediakan, serta elaun bagi menjamin kebajikan ekonomi warga ATM wajar disemak dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Pertahanan negara bukan sahaja bergantung kepada aset moden, tetapi juga pada kesejahteraan fizikal, mental, dan ekonomi anggotanya,” titah baginda ketika menerima sembah menghadap Panglima ATM, Malek Razak Sulaiman di Balai Menghadap Biru di Istana Arau.

Baginda bertitah, sistem komunikasi, peralatan, dan aset pertahanan untuk kecekapan operasi juga perlu dinaiktaraf secara berterusan.

Turut berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap komander Rejimen 504 Askar Wataniah.

Majlis menghadap ini mencerminkan hubungan erat dan berterusan antara institusi diRaja Perlis dengan kepimpinan tertinggi ATM, khususnya dalam memperkukuh aspek kestabilan negara serta dalam mendepani cabaran keselamatan semasa serta masa hadapan.

Tuanku Syed Sirajuddin yang juga Kolonel Yang DiPertua Kor Rejimen Renjer DiRaja dan Kor Polis Tentera DiRaja Malaysia merupakan alumni Royal Military Academy Sandhurst (RMAS), United Kingdom (1964-1965).

Baginda turut berkongsi pengalaman peribadi pahit getir perjuangan sebagai seorang pegawai tentera ketika negara mengharungi peperangan menentang komunis, penempatan di barisan hadapan kawasan tumpuan konflik ketika konfrantasi, serta, peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.