Sultan dukacita: PN Selangor didesak nyata pendirian berhubung kenyataan Hadi

Sultan dukacita: PN Selangor didesak nyata pendirian berhubung kenyataan Hadi

PKR Selangor berkata tindakan membisu pimpinan PN Selangor menunjukkan seolah-olah mereka mahu menjaga hati pemimpin dan penyokong PAS.

PN Selangor didesak menyatakan pendirian berhubung kenyataan Presiden PAS, Hadi Awang.
SHAH ALAM:
Perikatan Nasional Selangor didesak menyatakan pendirian berhubung rasa amat dukacita Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap kenyataan pemimpin utama mereka, Presiden PAS Hadi Awang.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Borhan Aman Shah, berkata tindakan membisu pimpinan gabungan yang diketuai bekas menteri besar Azmin Ali itu menunjukkan seolah-olah mereka mahu menjaga hati pemimpin dan penyokong PAS, lapor Bernama.

Beliau mengulas surat dihantar Sultan Selangor kepada Hadi menerusi pesuruhjaya PAS Selangor pada 27 Feb lepas, berhubung kenyataan presiden PAS itu pada 20 Feb yang bertajuk “Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan”.

Borhan Aman Shah.

Pada 29 Feb lepas, Pejabat Sultan Selangor di Facebook berkata kenyataan sinis Hadi, yang secara tidak langsung mengaitkan ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata, adalah amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya Melayu.

Kenyataan Hadi juga dikatakan mengelirukan, malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam.

Katanya, antara intipati surat berkenaan, Sultan Sharafuddin menyifatkan Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam ucapannya semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 15 Feb lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.