Kuota MRSM untuk Orang Asli: Mara akan laksana jika jadi resolusi

Kuota MRSM untuk Orang Asli: Mara akan laksana jika jadi resolusi

Mara sebagai agensi pelaksana akan melaksanakan aspirasi akar umbi, tegas Pengerusi Asyraf Wajdi Dusuki.

Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki berkata Mara akan membincangkan cadangan kuota 5% untuk pelajar Orang Asli di MRSM.
PUTRAJAYA:
Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan melaksanakan cadangan kuota 5% bagi Orang Asli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), jika ia diangkat sebagai resolusi oleh Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024).

Sementara itu, Pengerusi Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Mara akan membincangkan cadangan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Nor, yang menyertai KEB2024 hari ini.

“Kalau ia menjadi suatu resolusi sudah tentu sebagai agensi pelaksana kita akan laksanakan apa sahaja yang diaspirasikan oleh akar umbi,” katanya kepada pemberita tapak persidangan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, petang tadi.

Terdahulu, Ramli pada sidang media di tepian KEB2024 mencadangkan kuota sebanyak 5% disediakan untuk pelajar Orang Asli di MRSM, mengingatkan bahawa akses pendidikan sudah lama menjadi isu bagi komuniti itu.

Dengan 55 maktab di seluruh negara, MRSM ditubuhkan selaras matlamat dan keperluan negara untuk memberi kemudahan pelajaran peringkat menengah dalam bidang sains dan teknologi, kepada pelajar Bumiputera yang mempunyai kebolehan akademik dan intelektual.

Sebelum ini, pada April 2022, menteri pembangunan luar bandar ketika itu, Mahdzir Khalid, dilapor berkata kuota kemasukan ke MRSM adalah 60% bagi B40, 20% bagi M40, 15% bagi T20, dan 5% bagi pelajar bukan Bumiputera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.