
Ahli ekonomi itu berkata, penubuhan sekretariat akan memastikan agenda Bumiputera bukan agenda bermusim.
Beliau berkata Majlis Amanah Rakyat atau Mara dalam kedudukan terbaik mengetuai sekretariat itu kerana ia hadir di setiap daerah.
“Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) juga boleh mengetuai sekretariat itu, tetapi mereka belum begitu popular di kawasan luar bandar. Jika ke kawasan luar bandar, ramai yang tidak tahu apa itu Teraju,” katanya dalam sidang media.
Teraju ditubuhkan pada 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk membantu pemerkasaan ekonomi dan kemajuan masyarakat Bumiputera.
Objektif utamanya untuk menyelaras dan melaksanakan program bagi meningkatkan penyertaan ekonomi dan daya saing individu serta perniagaan Bumiputera merentasi pelbagai sektor ekonomi.
Azlan turut mengalu-alukan pelawaan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk bukan Bumiputera menyertai Kongres Ekonomi Bumiputera minggu ini.
Ketika merasmikan prapelancaran kongres itu, Anwar dilaporkan berkata, edisi tahun ini inklusif dalam membincangkan cara menangani isu ekonomi dihadapi masyarakat.
Katanya pendekatan inklusif untuk menangani ekonomi Bumiputera bermakna menyelesaikan isu membabitkan komuniti lain juga.
Beliau berkata ini sebabnya kerajaan mahu penyertaan dewan perniagaan Cina dan India dalam kongres itu.