Jalan ‘glow in the dark’, JKR N Sembilan laksana projek rintis Jun

Jalan ‘glow in the dark’, JKR N Sembilan laksana projek rintis Jun

Jalan raya yang terlibat terdiri daripada jalan lama Bukit Putus, Kuala Pilah dan Jalan Bukit Miku, Rembau, masing-masing sepanjang 2km.

Pengarah JKR Negeri Sembilan Wan Hasnan Wan Musa berkata, setelah projek jalan ‘glow in the dark’ itu siap, pihaknya akan dapat melihat dari segi kos penyelenggaraan yang perlu ditanggung. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan akan melaksanakan projek rintis penggunaan garisan jalan bercahaya dalam gelap atau “glow in the dark” di jalan lama Bukit Putus, Kuala Pilah dan Jalan Bukit Miku, Rembau pada Jun ini.

Pengarah JKR negeri Wan Hasnan Wan Musa berkata, sejumlah RM500,000 disediakan bagi projek bawah peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) itu, disalurkan oleh kerajaan negeri.

“Panjang jalan adalah lebih kurang 2km di jalan Bukit Putus dan 2km di Jalan Bukit Miku. Saya berpendapat dua jalan berkenaan memberikan nilai tambah kepada pengguna jalan raya kerana keadaan jalan di situ gelap,” katanya kepada pemberita.

Wan Hasnan berkata, pada peringkat Kementerian Kerja Raya, penggunaan garisan itu masih dalam kajian dan pihak JKR negeri mengambil inisiatif untuk melakukan projek rintis bagi melihat impak dan kesesuaian untuk pengguna jalan raya.

Menurutnya, perbelanjaan penggunaan garisan “glow in the dark” itu agak tinggi dan setelah projek siap, pihaknya akan melihat dari segi kos penyelenggaraan yang perlu ditanggung.

“Sebab itu kita membuat kajian rintis di dua jalan berkenaan setelah itu, baru kita tahu ketahanan penggunaan garisan terbabit serta kos-kos lain yang perlu diambil kira.

“Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan & Teknologi JKR (CREaTE) akan mengkaji penggunaan garisan itu secara menyeluruh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.