
“Banyak projek yang telah dilaksanakan oleh kerajaan GRS masih berjalan dan dijangka siap dalam dua hingga tiga tahun lagi. Terdapat juga projek yang telah diluluskan dan akan dimulakan tahun depan,” katanya kepada FMT dalam satu temu bual.
Ditanya mengenai keutamaan, Rafie berkata semua pembangunan mesti diteruskan.
“Bingkor telah jauh ketinggalan. Untuk jalan raya, hampir semuanya siap tahun lalu dan sebahagian masih dalam pembinaan. Untuk sekolah, kita juga memerlukan bangunan baharu.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Bingkor akan mempunyai 11 projek pembinaan bangunan sekolah baharu,” katanya.
Rafie turut menekankan jumlah pengundi muda di kawasan itu, yang merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan pengundi serta keperluan membangunkan modal insan, golongan belia dan wanita.
“Melalui program kepimpinan dan latihan kemahiran, mereka boleh membina keyakinan dan kemahiran praktikal yang boleh menjana peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya, sambil menyebut contoh seperti kursus kimpalan percuma untuk belia.
Beliau mengenal pasti tiga sektor ekonomi untuk meningkatkan peluang pekerjaan belia: pertanian, pelancongan dan industri kreatif.
“Bingkor ialah hab pertanian dan kita perlu memperkukuhkan industri ini. Kedua ialah pelancongan, di mana dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, saya telah giat mempromosikan pelancongan dan produk kraftangan di Keningau.
“Ketiga ialah industri kreatif, yang akan membuka peluang kepada belia tempatan, khususnya di kawasan luar bandar, seperti dalam bidang perfileman dan seni persembahan. Saya percaya daripada 14,000 pengundi di bawah umur 40 di Bingkor, ramai bakat boleh digilap,” katanya.
Beliau menyeru pengundi yang masih belum membuat keputusan supaya menyokong GRS bagi memastikan kesinambungan pembangunan.
“Kepada pengundi yang masih ragu-ragu, mudah sahaja. Kita perlu mengundi parti yang boleh membentuk kerajaan dan yang telah berjaya membawa pembangunan ke Bingkor,” katanya.