
Ketua polis Wangsa Maju Ashari Abu Samah juga menafikan dakwaan bahawa polis sudah memberi kelulusan untuk program yang dijadual pada Sabtu ini diteruskan.
Ashari berkata dalam sesi perjumpaan bersama pihak penganjur Mega Rakyat Demi Palestin pada 22 Feb dan pihaknya menasihati mereka untuk mengemukakan pemakluman dan permohonan permit.
“Bagaimanapun, setakat hari ini (semalam) pihak penganjur masih gagal mengemukakan sebarang pemakluman dan permohonan,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru itu, Ashari menasihati orang ramai agar tidak berkumpul atau mengadakan sebarang perhimpunan tanpa kebenaran.
“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang tidak mematuhi peraturan atau melanggar undang-undang,” katanya.
Semalam, SSP berkata himpunan mega Palestin yang dirancang pada 2 Mac ini mendapat kelulusan IPD Wangsa Maju.
Tetapi, ia masih memerlukan kelulusan IPD Dang Wangi, serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menggunakan Padang Merbok sebagai lokasi himpunan.
Peserta dijangka berkumpul di bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak sebelum berarak ke Padang Merbok. Antara “checkpoint” himpunan itu termasuk Kedutaan Amerika Syarikat, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Hotel Renaissance.
Anggota kanan SSP, Tian Chua berkata himpunan itu diperakui kira-kira 100 NGO dan parti politik kerajaan serta pembangkang.