
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata pembatalan itu dibuat menerusi operasi dijalankan bagi 2022 hingga 15 Feb lalu bersama agensi penguatkuasaan.
“Kerajaan negeri turut memainkan peranan dengan memperketatkan syarat permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan PBT di negeri masing- masing bagi mengekang monopoli perniagaan oleh warga asing.
“PBT juga tidak pernah membenarkan warga asing untuk memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan di pasar-pasar, selaras Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bawah UKK Penjaja, PBT tidak mengiktiraf dan membenarkan warga asing sebagai penjaja dan peniaga kecil, malah, pihaknya juga tidak membenarkan penggunaan warga asing sebagai pekerja atau pembantu di bawah lesen penjaja di premis PBT.
“Ini kerana kadar harga sewaan ditetapkan PBT adalah bawah harga pasaran dan bertujuan untuk memberikan peluang perniagaan kepada rakyat tempatan,” katanya.
Manakala bawah UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian, pengeluaran lesen perniagaan hanya dikeluarkan untuk warganegara Malaysia sahaja dan membenarkan warga asing diambil bekerja sebagai pekerja atau pembantu dengan syarat memiliki pas kerja dan permit dagang sah.
“PBT tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran yang jelas terhadap syarat lesen yang dikeluarkan oleh mana-mana perniagaan dan pemegang lesen dengan mengambil tindakan tegas secara sitaan, kompaun, penutupan premis dan pembatalan lesen,” katanya.