
Anwar, yang juga menteri kewangan, bersetuju dengan pandangan pada sebuah forum yang mengatakan terdapat terlalu banyak plaza tol di sekitar ibu negara.
Sekiranya kerajaan memutuskan untuk memansuhkan tol, syarikat konsesi perlu diberi pampasan. Beliau berkata kerajaan terikat dengan perjanjian dengan syarikat konsesi terbabit namun “apabila kewangan negara menjadi kukuh, baru boleh berunding semula”.
Perkara berkaitan tol adalah isu yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu, katanya pada sesi dialog di Program Madani Rakyat hari ini.

Pada 17 Nov, kerajaan berkata ia telah memulakan rundingan dengan syarikat konsesi lebuh raya untuk menyusun semula tol bagi 19 lebuh raya.
Abdul Rahman Mohamad, timbalan menteri kerja raya ketika itu, berkata 19 lebuh raya itu diuruskan Amanat Lebuhraya Rakyat yang mengendalikan Lebuhraya Kesas, Litrak, Sprint dan Smart; Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas), IJM Corporation, yang mengendalikan lebuh raya Besraya, New Pantai Expressay dan Lekas; Anih Bhd yang mengendalikan lebuh raya KL-Karak, dan PLUS Malaysia.