Dakwa Hadi kerana serang kehakiman, peguam negara diberitahu

Dakwa Hadi kerana serang kehakiman, peguam negara diberitahu

Bastian Pius Vendargon berkata Ahli Parlimen Marang itu hina mahkamah dengan gambarkan ada hakim 'kepala dan akal dipengaruhi pemikiran penjajah'.

Presiden PAS Hadi Awang dalam catatan Facebook, berkata kini muncul kalangan hakim ‘bijaksini’ (bukan bijaksana) yang kepala dan akalnya dipengaruhi tulisan warisan penjajah.
PETALING JAYA:
Peguam negara perlu memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Abdul Hadi Awang kerana menyerang badan kehakiman, kata peguam kanan yang juga pakar Perlembagaan, Bastian Pius Vendargon.

Beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Hadi terhadap sesetengah hakim yang mana tidak dinamakannya disebut sebagai “kepala dan akal yang dipengaruhi pemikiran penjajah” selain dikatakan “bijaksini”.

“Ia adalah penghinaan terhadap mahkamah dan peguam negara sepatutnya bertindak ke atasnya kerana melanggar sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat,” katanya kepada FMT.

Dalam perbandingan jelas, Hadi mendakwa beberapa hakim terdahulu seperti bekas “lord president” (kini dikenali ketua hakim negara) Salleh Abas tidak melayan tindakan yang mahu menyingkirkan syariat Islam.

“Kini muncul kalangan hakim yang ‘bijaksini’ (bukan bijaksana) yang kepala dan akalnya dipengaruhi tulisan warisan penjajah,” katanya dalam catatan minda presiden PAS di Facebook, minggu lalu.

Beliau menegaskan umat Islam wajib bangkit menentang usaha menyesatkan mereka daripada “Islam sebenar”.

“Hal ini demikian kerana dosa menghina Islam lebih besar daripada dosa menghina mahkamah yang sebenarnya hina di hadapan Allah,” katanya tanpa menghurai lanjut.

Kenyataan Hadi itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb membatalkan 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 atas alasan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Vendargon mengambil maklum bahawa Hadi, yang menjadi Ahli Parlimen sejak 1986, berulang kali mengangkat sumpah bagi “memelihara, melindungi, dan mempertahankan” Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara.

Beliau juga merujuk hakim mahkamah tertinggi juga mengangkat sumpah sama ketika pelantikan dan dinaikkan pangkat dalam hierarki kehakiman.

Vendargon berhujah Hadi secara melulu tidak mengambil kira fakta dalam Perlembagaan memberi kuasa kepada mahkamah atasan memutuskan perkara berkaitan undang-undang dalam Perlembagaan di pusat dan negeri.

“Di sini, majoriti panel memutuskan negeri tidak kompeten menggubal undang-undang yang berada dalam bidang kuasa Parlimen,” katanya sambil menambah ia menunjukkan Hadi gagal menjunjung semangat sumpah jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, peguam Salim Bashir menyatakan Perlembagaan jelas membezakan ruang lingkup eksekutif, perundangan, dan kehakiman.

Katanya, dalam mentafsir undang-undang, termasuk Perlembagaan Persekutuan, badan kehakiman diberikan amanah memastikan setiap organ dan institusi negeri dalam sempadan undang-undangnya.

Salim, bekas presiden Badan Peguam, berkata tidak adil bagi Hadi melancarkan serangan terhadap kehakiman atau sesetengah hakim kerana mereka tidak dapat mempertahankan diri untuk memberi maklum balas.

“Panel hakim hanya boleh bercakap menerusi alasan penghakiman dan tidak boleh membuat kenyataan seperti ahli politik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.