Bekas KSN Ismail Bakar dilantik pengerusi EAIC

Bekas KSN Ismail Bakar dilantik pengerusi EAIC

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Prasad Sandosham Abraham pula dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Ismail Bakar dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Feb hingga 31 Jan 2027. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas Ketua Setiausaha Negara Ismail Bakar dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang baharu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Feb lepas sehingga 31 Jan 2027.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam kenyataan berkata bekas hakim Mahkamah Persekutuan Prasad Sandosham Abraham pula dilantik Timbalan Pengerusi EAIC.

Turut dilantik menganggotai EAIC ialah Yusof Ismail; Razali Ab Malik; Mohd Gazali Abas; Ong Lam Kiat, dan Siti Zainab Omar.

“Pelantikan ini diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shahpada 24 Jan lepas, selaras dengan subseksyen 5(1) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.

“Semoga pelantikan ini akan memperkukuh pelaksanaan fungsi dan keberkesanan EAIC ke arah memastikan mutu penguatkuasaan yang efektif dan berintegriti dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan,” katanya.

Anwar dalam kenyataan sama menzahirkan penghargaan kepada barisan pesuruhjaya EAIC terdahulu iaitu Sidek Hassan; Zainun Ali; Mahmood Adam; Aziah Ali; Alizatul Khair Osman Khairuddin; John Louis O’hara, dan Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod yang telah melengkapkan perkhidmatan mereka di EAIC pada 30 Jun 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.