Malaysia akan anjur persidangan, pameran teknologi perubatan Asia pertama

Malaysia akan anjur persidangan, pameran teknologi perubatan Asia pertama

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama pembangunan teknologi perubatan di Asia.

Dzulkefly Ahmad berkata, sektor peranti perubatan menyumbang RM15.1 bilion kepada ekonomi negara tahun lalu dan lebih 80,000 peluang pekerjaan diwujudkan sejak 2010.
PUTRAJAYA:
Malaysia akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Teknologi Perubatan Antarabangsa Asia pertama (Asian Medtec 2024) pada Disember ini.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata acara yang dikendalikan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) itu akan menjadi tapak pelancaran inovasi baharu, meningkatkan reputasi Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pembuatan peranti perubatan dan aktiviti rantaian bekalan.

“Ia juga akan mendorong kerjasama antara agensi kerajaan utama bagi membentuk ekosistem bertaraf dunia bagi teknologi perubatan di Malaysia,” katanya selepas prapelancaran Asian Medtec 2024 hari ini.

Beliau berkata Asian Medtec 2024 akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama bagi pembangunan teknologi perubatan di Asia kerana menguasai 8% hingga 10% daripada bahagian pasaran global berjumlah USD536 billion (RM2.56 trilion).

Katanya sektor peranti perubatan menyumbang RM15.1 bilion kepada ekonomi negara tahun lalu, dengan lebih 80,000 peluang pekerjaan diwujudkan dalam sektor itu sejak 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif MDA, Dr P Muralitharan berkata industri itu dijangka menyumbang RM20 bilion kepada ekonomi negara tahun ini, dengan pelaburan langsung asing baru dan pelaburan tambahan dalam negara.

Menurutnya, MDA menyasarkan Malaysia meraih 15% daripada bahagian pasaran global dalam sektor peranti perubatan.

Asian Medtec 2024 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 10 hingga 12 Dis nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.