
Buat masa ini prosiding kedua-dua mahkamah hanya didengar di Istana Kehakiman di Putrajaya dengan prosiding kadangkala diadakan di Kuching dan Kota Kinabalu.
“Kedua-dua mahkamah sepatutnya sekali-sekala bersidang di bandar utama untuk mendengar rayuan sivil dan jenayah seterusnya membolehkan peguam muda memerhatikan prosiding dan mempelajari kemahiran berhujah dengan menyaksikan sendiri peguam senior menjalankan kes mereka,” kata Syed Iskandar Syed Jaafar.
Menurutnya pada masa lalu mahkamah berkenaan mengadakan sesi persidangan dua atau tiga hari di Georgetown, Johor Bahru dan Kota Bharu.
“Amalan ini patut dihidupkan semula malah turut dibawa ke bandar lain,” katanya, menjelang ucaptama Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid yang dijadualkan esok.
Wan Ahmad Farid dilantik ke jawatan itu, minggu lalu.
Syed Iskandar turut berkata, sesi persidangan seperti itu akan membolehkan jawatankuasa guaman dan peguam tempatan mendekati hakim tertinggi negara di luar sesi mahkamah formal, seterusnya mengukuhkan ikatan profesional antara semua pihak.
Bekas presiden Badan Peguam itu berkata, pembaharuan dalam prosedur rayuan juga diperlukan, khususnya dalam penyampaian penghakiman bertulis dengan lebih pantas.
“Penyampaian penghakiman bertulis dengan cepat adalah antara fungsi utama hakim, dan kegagalan melakukannya menafikan hak mengikut perlembagaan serta kepercayaan umum,” katanya.
Beliau menggesa hakim-hakim peringkat rayuan menyediakan penghakiman bertulis apabila mengarahkan perbicaraan semula atau memerintahkan pembelaan dipanggil dalam rayuan jenayah.
Beliau turut mencadangkan supaya hakim kanan dan bersara menjadi mentor kepada hakim dalam cara menulis penghakiman.
Menurutnya, tunggakan kes – khususnya di Kuala Lumpur dan Selangor – semakin teruk sejak setahun lalu disebabkan kelewatan dalam menggantikan hakim yang telah bersara.
“Ada kes didaftarkan tahun ini yang diberikan tarikh perbicaraan lebih lama. Ini tidak adil untuk mereka yang terpaksa menunggu dalam penjara kerana tidak dibenarkan jaminan,” katanya.
Peguam A Srimurugan mencadangkan supaya Wan Ahmad Farid mempertimbangkan proses pengantaraan sebagai mekanisme alternatif untuk menyelesaikan pertikaian bagi mengurangkan beban kes mahkamah.
“Kes seperti saman fitnah, kecuaian perubatan, kes berkaitan undang-undang keluarga serta pertikaian komersial dan kontrak boleh diselesaikan di luar mahkamah tanpa menjalani perbicaraan serta rayuan berpanjangan,” katanya.
“Reputasi individu, keluarga dan perniagaan dapat dipelihara sekiranya pihak-pihak bersetuju mencapai persetujuan, tetapi ini memerlukan pengantara yang berfikiran ala hakim dengan formula menang-menang untuk pihak-pihak bertelingkah.”
Sementara itu, peguam Ramesh Sivakumar menggesa Wan Ahmad Farid, yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pelantikan Hakim (JAC), memastikan pesuruhjaya kehakiman dipilih daripada kalangan peguam, hakim atau pengamal undang-undang yang bersifat serba boleh.
“JAC juga mesti memastikan mereka berwibawa, berkecuali dan mampu mengeluarkan penghakiman dengan cepat selain mempunyai kemahiran penulisan perundangan baik,” katanya.
Ramesh menggesa supaya peguam senior dilantik ke jawatan penghakiman seperti pernah dilakukan bekas ketua hakim negara Zaki Azmi.
“Peguam-peguam ini yang ada antaranya kemudian menjadi Hakim Mahkamah Rayuan berjaya menyelesaikan banyak kes malah ada yang menghasilkan penghakiman-penghakiman penting,” katanya.