
Ketua Polis Klang Utara, S Vijaya Rao, berkata bedah siasat terhadap mangsa iaitu juruterbang Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, dan pembantunya Roshaan Singh Raina, 43, selesai 12.15 tengah hari tadi.
“Hasil bedah siasat bermula 10 pagi mendapati punca kematian akibat ‘multiple injuries due to plane crash’, pemeriksaan cap jari juga mengesahkan mangsa merupakan Daniel Yee dan Roshaan Singh.

“Waris kedua-dua mangsa dihubungi untuk proses serahan mayat mangsa dan polis bekerjasama dalam urusan penghantaran mayat ini ke lokasi ditetapkan keluarga kelak,” katanya dalam sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Dalam pada itu, Vijaya Rao berkata pihaknya merakam lima keterangan saksi berhubung nahas berkenaan yang berlaku di sebuah ladang kelapa sawit di Kapar.
“Kelima-lima individu ini melihat kejadian berkenaan dan keterangan mereka dirakam bagi membantu siasatan,” katanya.
Mengenai kotak hitam pesawat terbabit, beliau berkata perkara itu disiasat Biro Siasatan Kemalangan Udara.
Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, 1.28 tengah hari untuk penerbangan rekreasi sebelum dilaporkan terhempas pada 1.45 tengah hari.