Gantung anggota polis disiasat atau dibicara, kata peguam

Gantung anggota polis disiasat atau dibicara, kata peguam

Bekas majistret dan pendakwa Nur Aminahtul Mardiah Md Noor berkata orang awam memerlukan jaminan mereka dilindungi.

Bekas majistret, Nur Aminahtul Mardiah Md Noor berkata tiada guna meletakkan polis bermasalah dalam persekitaran yang membuka ruang kepada tingkah laku tidak baik.
PETALING JAYA:
Anggota polis sedang disiasat atau berdepan bicara jenayah tidak sepatutnya dibenarkan bertugas, kata peguam Nur Aminahtul Mardiah Md Noor.

Beliau yang juga bekas majistret berkata tindakan itu bagi mengelak orang awam hilang kepercayaan kepada pihak berkuasa itu memandangkan tugas dan amanah pasukan itu menjaga ketenteraman dan keselamatan masyarakat.

“Walaupun prinsip keadilan tidak bersalah sehingga dibuktikan, pegawai ini tanpa mengira pangkat patut digantung daripada tugas ketika siasatan atau perbicaraan.

“Jika mereka disabit bersalah, mereka perlu dihukum sewajarnya,” katanya kepada FMT.

Awal bulan ini, 10 anggota polis dari Petaling Jaya yang melaksanakan sekatan jalan raya didapati memiliki lebih RM3,000 wang tunai, manakala bulan lalu, seorang anggota berpangkat sarjan mejar di Johor disiasat atas dakwaan menyerang orang awam.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, antara 2018 hingga Januari tahun lalu, 339 pegawai polis seluruh negara pindah negeri atau jabatan lain susulan masalah disiplin dan integriti, termasuk melakukan kesalahan jenayah.

Aminahtul, yang juga bekas timbalan pendakwa raya berkata walaupun memindahkan anggota atas pelanggaran disiplin mungkin memberi mereka peluang kedua, namun tiada apa akan berubah jika mereka diletakkan dalam persekitaran yang membenarkan mereka kembali melakukan tingkah laku tidak baik itu.

Beliau mencadangkan peranan baharu bagi anggota berkenaan diletakkan dalam bidang tugas pentadbiran seperti kerani.

Susulan dakwaan tingkah laku jenayah baru-baru ini, IPK Selangor bulan lalu memindahkan hampir 200 anggota perondanya ke jabatan lain.

Polis Selangor juga mengesahkan dua pasukan khas dibentuk bagi memantau pegawai dan anggotanya berikutan ada dalam kalangan mereka terlibat jenayah berprofil tinggi.

Pada 19 Jan, seorang polis dari Ampang dituduh merogol pelajar berusia 17 tahun. Pegawai itu dan rakan setugas juga didakwa melakukan pemerasan terhadap teman lelaki mangsa.

Polis Selangor berkata, pihaknya membuka kertas siasatan terhadap 311 pegawai dan anggota tahun lalu. Daripada jumlah itu, 33 didakwa di mahkamah, 14 digantung, dan 21 dipecat.

Pada Januari lalu sahaja, 11 polis dituduh dengan pelbagai kesalahan, termasuk membabitkan seorang pegawai.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia Mokhtar Omar, berkata beliau bersetuju pegawai dan anggota bermasalah dipindahkan kerana masih gagal mengekalkan integriti kerana godaan dalam persekitaran mereka.

“Apabila mereka melihat rakan korup dengan gaya hidup mewah, mereka tergoda untuk menjadi seperti mereka dan tidak dapat melawan godaan. Persekitaran kerja seperti itu yang mereka diuji saban hari bukan perkara mudah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.