Berlaku adil kepada PAS, rakyat Kelantan, kata Hassan

Berlaku adil kepada PAS, rakyat Kelantan, kata Hassan

Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata menjadi aspirasi rakyat Kelantan mahu 'syiar Islam' ditegak menerusi pelaksanaan enakmen kanun syariah.

Hassan Karim berkata kerajaan PAS Kelantan bukan ‘amatur’ dan tidak mengetahui risiko enakmen itu mungkin dicabar selepas memerintah negeri itu sejak 1990.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen PKR berpandangan masyarakat perlu adil kepada kerajaan PAS Kelantan dan rakyatnya yang mahu ‘syiar Islam’ ditegakkan menerusi pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Memberikan pandangan di luar konteks perundangan, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim yang juga peguam, berkata tiga aspek perlu diambil kira iaitu politik, sejarah, dan budaya negeri yang diperintah PAS lebih 33 tahun, sejak 1990.

Menurutnya, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 yang diluluskan DUN dan diperkenankan Sultan Kelantan pastinya telah dirancang sebaik mungkin, sambil menegaskan kerajaan PAS bukan “amatur”, selain dibelakangnya ada Penasihat Undang-Undang mahir dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, apabila menteri besar Kelantan, Adun PAS, dan Penasihat Undang-Undang tahu risiko dan kemungkinan Enakmen Kod Jenayah Syariah tersebut dicabar di mahkamah dan dibatalkan seperti apa yang berlaku sekarang, mengapa mereka tetap bertegas untuk meneruskan penggubalan enakmen tersebut?

“Pada pandangan saya, jawapannya ialah faktor politik, sejarah, dan budaya rakyat Kelantan yang ada perbezaannya dengan kebanyakan negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia,” katanya dalam catatan di Facebook.

Menurut wakil rakyat PKR itu, rakyat Kelantan lebih 90% beragama Islam telah memilih PAS membawa agenda memartabat undang-undang syariah, dipilih secara demokratik dan enakmen itu adalah manifestasi kehendak mereka.

“Dalam kita akur dan menghormati Perlembagaan Persekutuan serta keputusan Mahkamah Persekutuan, saya sebagai bukan anggota PAS tetapi Ahli Parlimen PKR yang politiknya menyokong dasar pelbagai kaum dan agama meminta kita bersikap adil bukan sahaja kepada kerajaan PAS tetapi keseluruhan rakyat Kelantan yang mahu syiar Islam ditegakkan.

“Perkara ini tidak boleh diputuskan Mahkamah Persekutuan tetapi diserahkan kepada mahkamah keadilan rakyat (pilihan raya). Dalam hal ini perkataan conscience (hati nurani) yang disebut oleh Mahatma Gandhi itu adalah relevan,” katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim, dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.